'Hanya bangkitkan hak undang-undang bukan campur tangan'

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, ucapannya dalam Taklimat Khas Presiden UMNO pada Sabtu lalu bertujuan membangkitkan hak undang-undang bagi seseorang warganegara Malaysia dan bukannya membenarkan campur tangan dalam badan kehakiman.

Malah katanya, sebagai bekas pengamal undang-undang sejak 1990 dan penggubal undang-undang sejak 2004, beliau akan menjadi orang terakhir yang membenarkan sebarang campur tangan badan kehakiman oleh eksekutif atau badan perundangan.

Jelas Azalina, dalam ucapan dan pemikirannya, beliau hanya berpegang kepada pepatah 'tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah' sebagai peraturan asas keadilan.

"Beban pembuktian undang-undang terletak pada pihak pendakwaan untuk membuktikan kes mereka di luar keraguan munasabah dan saya percaya bahawa penafian perubahan representasi undang-undang adalah berbangkit dalam memberikan keadilan mutlak.

"Ini terpakai dalam semua kes, termasuk di Mahkamah Rayuan. Adakah saya meminta YB Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) dibebaskan? Jawapannya adalah tidak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ia susulan kenyataan yang dibuat Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Thomas Fann yang kecewa dengan pandangannya yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memilih ‘orangnya’ menjadi Peguam Negara (AG).

Jelas Thomas, kenyataan Azalina yang juga Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri itu tidak selari dengan pendiriannya tahun lalu yang mempertahankan pemisahan kuasa dan menolak campur tangan eksekutif dalam kehakiman.

Tambah Azalina, ucapannya pada perhimpunan itu adalah atas kapasiti Penasihat Undang-undang BN dan Ahli Parlimen Pengerang.

Artikel Berkaitan:

Ucapan singkatnya sekitar 10 minit hanya menyerlahkan beberapa perkara, tanpa melibatkan terlalu banyak butiran teknikal.

"Inti ucapan saya adalah untuk membangkitkan hak undang-undang seorang warganegara Malaysia dan setiap lelaki mahupun wanita berhak untuk mendapat pembelaan dan mengemukakan bukti baharu.

"Jangan kita lupa bahawa pihak pendakwaan mewakili kerajaan Malaysia dan oleh itu, rayuan YB Pekan secara teknikalnya dibantah oleh kerajaan.

"Peguam Negara adalah peguam kepada kerajaan dan merupakan satu-satunya orang yang boleh menyokong sebarang permohonan.

"Apabila menyebut 'orang dia' dalam ucapan, ia tidak ada kena mengena dengan pendirian saya mengenai pengasingan kuasa antara Badan Kehakiman, eksekutif dan perundangan, serta pemisahan AG (Peguam Negara) dan Pendakwa Raya," ujar beliau.

Jelas Azalina, Peguam Negara ketika ini iaitu Tan Sri Idrus Harun adalah seorang yang baik dan dihormati.

Sebagai ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan dan mewakili kerajaan, Peguam Negara bukan sahaja sebahagian daripada eksekutif, tetapi pendakwa raya berpangkat tertinggi di negara ini yang boleh menggunakan budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding di kebanyakan mahkamah di Malaysia.

"Dalam ucapan, adakah saya meminta AG disingkirkan untuk membebaskan YB Pekan sehingga dia tidak perlu menghadapi baki pertuduhan dan perbicaraan terhadapnya?

"Bukankah YB Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendapat pengampunan setelah Pakatan Harapan (PH) meraih kemenangan dalam PRU14? Atau apabila Tommy Thomas dilantik sebagai AG oleh PM7 (Tun Dr Mahathir Mohamad), bukankah dia 'orang PH'?

"Adakah anda baru mengalihkan 'tiang gol'? PM Pakatan Harapan menukar AG dan begitu juga PM Perikatan Nasional, tetapi PM dari UMNO/Barisan Nasional tidak boleh menukar atau menggantikan AG? Double standard, saya rasa," jelasnya.