Kerjasama politik untuk jamin masa depan negara: Muhyiddin

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerjasama politik parti pembangkang dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diperlukan bagi menjamin masa depan negara.

Menurutnya, Malaysia tidak seharusnya terjerumus ke tangan pihak yang terpalit dengan isu kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.

"Saya ada baca Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menolak tawaran (kerjasama) PN, tak apalah kita terima pandangan," katanya.

Beliau berkata, pemimpin parti-parti politik seharusnya memerlukan keberanian untuk menyatukan rakyat dan menawarkan sesuatu yang lebih baik.

"Saya serahkan kepada pimpinan politik.

"Adakah mereka memikirkan politik atau negara," ujarnya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara, di sini pada Isnin.

Muhyiddin berkata, rakyat mahu ada usaha menyatukan parti-parti politik.

"Tidak perlu fikir siapa yang akan jadi Perdana Menteri. Kita boleh terus berbincang dan jika akhirnya tidak bersetuju tidak mengapa.

Artikel Berkaitan:

"Nak mencabar Perdana Menteri, Peguam Negara dan tidak bersetuju dengan hakim... Ini apa?" soalnya sinis.

Rafizi pada Ahad dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) telah memutuskan pendirian bahawa mereka tidak akan menjalinkan kerjasama dengan PN.

Sabtu lalu, Muhyiddin pada Konvensyen PN berkata, semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbangkan membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU15 adalah BN.