KKM perinci kelonggaran pemakaian pelitup muka

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat secara terperinci mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka dengan skop lebih luas selepas ia diwajibkan ke atas semua penduduk di negara ini, sejak lebih dua tahun lalu.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemakaian pelitup muka sudah menjadi suatu kebiasaan baharu di Malaysia.

"Kalau itu (pemakaian pelitup muka) sudah jadi kebiasaan, ada baik sekiranya kementerian kata mungkin kita sudah tidak lagi perlu memakainya tanpa paksaan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini pada Isnin.

Menurutnya, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali telah membentangkan situasi terkini Covid-19 di dalam mesyuarat tersebut.

"Saya juga ada bangkitkan mengenai kelonggaran ini.

"Sebarang keputusan adalah tertakluk kepada penilaian KKM.

"Kita tidak boleh buat keputusan seperti Singapura kerana situasi tidak sama," ujarnya.

Muhyiddin berkata demikian mengulas mengenai langkah Singapura yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dalam pengangkutan awam dan di kemudahan jagaan kesihatan berkuat kuasa Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pemakaian pelitup muka diwajibkan berkuat kuasa 1 Ogos 2020 dan dilonggarkan di kawasan terbuka pada 1 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, MPN mencadangkan agar kerajaan mempertingkatkan inisiatif penggalakan pelancongan dan penambahbaikan infrastruktur dengan secepat mungkin bagi memastikan industri kekal berdaya saing serta tidak ketinggalan dalam gelombang pemulihan rantau Asia Tenggara.

"Banyak lagi usaha perlu dipertimbangkan kerana sektor ini memacu berbilion ringgit kepada ekonomi negara," kata Muhyiddin.

Tambahnya, tempoh pemulihan empat tahun seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu dipendekkan kepada tiga tahun.

"Pemulihan ini ibarat orang sakit masuk unit rawatan rapi (ICU), kalau terlalu lama kita bimbang akan mati.

"Jadi pendekatan MPN adalah berbeza bagi memastikan langkah proaktif diambil kerajaan," katanya.