Lembaga Zakat Selangor kesan 25 asnaf baharu

Skuad Jejak Kemiskinan yang terbabit dalam program di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
Skuad Jejak Kemiskinan yang terbabit dalam program di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seramai 25 asnaf baharu berjaya dikesan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini.

LZS dalam satu kenyataan memaklumkan, program bagi mengenal pasti calon asnaf baharu itu dilaksanakan pada Khamis menyasarkan dua pangsapuri iaitu Pangsapuri Teratai dan Pangsapuri Kenanga.

“Program ini dilaksanakan bertujuan untuk mengenal pasti calon asnaf baharu yang telah disenarai pendek oleh ketua-ketua blok dan amil kariah yang mempunyai tanggungan ramai dan berpendapatan kecil.

“Menerusi program ini seramai 25 daripada 42 ketua keluarga telah dikesan layak didaftarkan sebagai asnaf fakir miskin dan program SJK ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang ke kawasan lain,” kata agensi itu di laman Facebooknya.

Pada 22 Ogos lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, seramai 600 keluarga berjaya keluar daripada senarai asnaf antara Januari hingga Jun lalu dan tidak lagi memerlukan bantuan LZS.

Menurut Amirudin, LZS turut memperuntuk sebanyak RM69.3 juta pada tahun lalu menerusi program Zakat Selangor Peduli yang menyediakan 19 inisiatif bantuan kepada golongan terbabit.

Artikel Berkaitan: