CEO Melaka United nafi letak jawatan

Kenyataan Justin yang dimuat naik di Facebook MUFC.
Kenyataan Justin yang dimuat naik di Facebook MUFC.
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Datuk Justin Lim pada Isnin menyatakan desas-desus mengenai peletakan jawatan beliau dalam kelab bola sepak itu adalah tidak benar.

Menafikan khabar angin itu, Justin berkata, beliau kekal komited untuk terus menerajui pasukan berkenaan.

"Saya merupakan ahli perniagaan yang masih baru dalam industri bola sepak. Sudah pastinya saya tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dan ini merupakan proses pembelajaran untuk saya membawa Melaka United ke tahap lebih baik.

"Saya beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah dan tidak pernah lari daripada tugas saya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Justin mengakui pada mulanya berasa kecewa apabila wujud isu pegangan saham dalam MUFC, namun selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan, kata sepakat telah dicapai dan kini perkara itu dalam proses penyelesaian bersama.

Beliau berkata, pencapaian skuad Sang Kancil itu sejak pengambilalihan kelab berkenaan pada tahun lepas juga boleh dibanggakan dan percaya pasukan itu mampu mencipta lebih banyak kejayaan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.

"MUFC menghargai sokongan serta kesabaran para peminat, penaja, kerajaan negeri Melaka, Persatuan Bola Sepak Melaka dan semua pihak berkepentingan. Ini adalah pemangkin semangat kepada kami untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: