Polis siasat terperinci kematian lelaki

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KAMPAR - Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung laporan diterima membabitkan kematian seorang lelaki yang disyaki ada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamed Nazri Daud berkata, maklumat pertama diterima membabitkan kes kemalangan maut pada Mei lalu melibatkan seorang lelaki dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Satu laporan dibuat oleh ahli keluarga mangsa berkenaan ketidakpuasan hati dengan tindakan anggota polis dan kematian disyaki terdapat unsur jenayah.

"Sabtu lalu, satu laporan diterima daripada ahli keluarga mangsa yang mahu satu siasatan terperinci dijalankan bagi menuntut keadilan serta membersihkan nama mangsa yang dikaitkan terlibat dalam aktiviti tidak sihat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Menurut Mohamed Nazri, pihaknya berjaya mengenal pasti 10 saksi utama yang berada di tempat kejadian dan keterangan diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

"Berdasarkan keterangan yang ada, siasatan telah mengenal pasti punca yang membawa kepada kematian mangsa. Siasatan lanjut akan terus dijalankan bagi mengenal pasti saksi lain dan keterangan bagi membantu siasatan.

"Siasatan seiring telah dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard bagi mengenal pasti jika wujud sebarang salah laku semasa menjalankan tugas dan tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.

Pada Ahad, seorang lelaki tampil membuat laporan polis menuntut satu siasatan lanjut dijalankan selepas tiga bulan kematian mangsa, Shaiful Azri Draman, 42, yang disyaki ada unsur jenayah.

Artikel Berkaitan:

Laporan dibuat di Balai Polis Malim Nawar selepas laporan forensik menunjukkan terdapat 40 kecederaan berlainan ditemui di seluruh badan mangsa.

Laporan itu turut menyatakan kecederaan tersebut tidak konsisten dengan kecederaan jatuh sendiri atau kemalangan jalan raya.