Lapor polis tuntut siasatan lanjut kematian adik

Zuelkefle (dua dari kiri) bersama barisan peguam yang membantu membuat laporan di Balai Polis Malim Nawar, Kampar pada Sabtu.
Zuelkefle (dua dari kiri) bersama barisan peguam yang membantu membuat laporan di Balai Polis Malim Nawar, Kampar pada Sabtu.
A
A
A

KAMPAR - Seorang lelaki tampil membuat laporan polis menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian ahli keluarganya yang disyaki ada unsur jenayah.

Laporan dibuat di Balai Polis Malim Nawar di sini pada Sabtu selepas tiga bulan kematian mangsa, Shaiful Azri Draman, 42, yang juga seorang penjawat awam.

Abang mangsa, Zuelkefle Draman, 66, berkata, adiknya dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kampar pada 26 Mei lalu akibat kemalangan jalan raya.

"Bagaimanapun, laporan bedah siasat yang diterima mendapati ada unsur jenayah yang menyebabkan kematiannya.

"Berdasarkan laporan itu, kami mendapatkan nasihat peguam selepas menerima dan laporan polis dibuat bagi menuntut keadilan ke atas kematian adik," katanya.

Menurutnya, mangsa bekerja di Seremban, Negeri Sembilan berada di Malim Nawar bagi menguruskan keluarganya yang sedang kuarantin kerana jangkitan Covid-19.

"Pada hari kejadian, adik ditahan polis. Ia berdasarkan gambar dia dalam keadaan terbaring dengan tangannya bergari. Keadaan itu yang mencurigakan kami.

"Jadi, kami mohon satu siasatan terperinci dijalankan bagi membawa mereka terlibat ke muka pengadilan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam, Sukhdave Singh berkata, selepas meneliti laporan forensik, pihaknya membantu waris membuat laporan polis berkenaan.

"Berdasarkan laporan itu, terdapat 40 kecederaan berlainan ditemui di seluruh badan mangsa dan punca kematian disebabkan kecederaan tumpul di kepala.

"Laporan itu menyatakan kecederaan itu tidak konsisten dengan kecederaan jatuh sendiri atau kemalangan jalan raya," katanya.

Tambah beliau, pihaknya menggesa satu inkues diadakan bagi menuntut keadilan kes itu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi memaklumkan siasatan kes masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.