Wai Ching cipta rekod baharu takluk Menara Cologne

Soh Wai Ching muncul juara kategori keseluruhan cabaran Menara Cologne pada Ahad. - Foto Instagram mastowerrunner
Soh Wai Ching muncul juara kategori keseluruhan cabaran Menara Cologne pada Ahad. - Foto Instagram mastowerrunner
A
A
A

PELARI menara nombor satu dunia Malaysia, Soh Wai Ching merangkul satu lagi kejuaraan dengan mempertahankan kejuaraan Kolnturm Treppenlauf (Cologne Towerrun) sambil mencipta rekod baharu.

Pelari berusia 28 tahun itu memenangi gelaran kategori keseluruhan cabaran Menara Cologne, yang juga dikenali sebagai Kejohanan Towerrunning Jerman dengan menaiki 39 tingkat dan menapak 714 anak tangga (jumlah ketinggian 132 meter) dalam masa tiga minit dan 17 saat (s) pada Ahad.

Wai Ching yang muncul juara keseluruhan pada edisi 2021 dengan mencatat masa 3:24s, berjaya meningkatkan prestasi peribadinya lebih pantas tujuh saat untuk memecahkan rekod dengan kelebihan enam saat.

Rekod kejohanan sebelum ialah 3:23s, dicatatkan oleh bekas pelari menara nombor satu dunia, Christian Riedl dari Jerman pada 2017.

Pelari tuan rumah, Gorge Heimann (3:35s) dan Andreas Fruhmann (3:37s) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga, menurut laman web rasmi kejohanan.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Wai Ching menzahirkan rasa syukur kerana berjaya memecahkan rekod dan berharap dapat mencapai sasaran emas berganda dengan memenangi acara Menara Zagreb pada Sabtu (3 September) bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022.

"Awal bulan ini saya berpindah ke pangsapuri baharu di sekitar kawasan KLCC. Terima kasih kepada Berjaya Corporation, Better Malaysia Foundation dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya kerana menjadi penaja saya, dan dengan itu saya berjaya menyewa tempat baharu di pangsapuri ini untuk menjadi tempat latihan baharu saya.

"Esok, saya akan berlepas ke Zagreb, Croatia dan akan mula membuat persiapan untuk pertandingan Towerrunning seterusnya dan matlamat saya adalah untuk memenangi pertandingan itu dan memecahkan rekod pertandingan! Ketinggian 25 tingkat, 490 anak tangga dan 83.3m ketinggian yang perlu didaki.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat teruja untuk menggondol emas berganda bagi menyambut Hari Kebangsaan Malaysia,” katanya ketika dihubungi di Jerman. - Bernama