Syabu bernilai RM10.89 juta dirampas di Ampang

Arjunaidi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Baru Ampang, Ampang, 20 Jun lalu.
Arjunaidi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Baru Ampang, Ampang, 20 Jun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis berjaya menahan dua pengedar dadah dan merampas syabu dianggarkan bernilai RM10.89 juta yang ditemui dalam sebuah pacuan empat roda menerusi satu serbuan di sebuah premis di Kampung Baru Ampang, Ampang, 20 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, salah seorang suspek berkenaan dipercayai berperanan sebagai pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux tersebut manakala rakannya bertindak sebagai tonto.

"Sekitar jam 5.20 petang, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun di sebuah premis di sekitar Kampung Baru Ampang dan merampas 349 bungkusan kuning mengandungi bahan disyaki methamphetamin seberat 363 kilogram (kg).

"Lanjutan daripada tangkapan tersebut polis berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 51 tahun di lokasi berhampiran dipercayai berperanan sebagai pemerhati," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Isnin.

Arjunaidi berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah yang diperoleh dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan kawasan sekitar sejak dua bulan lalu.

"Kita jalankan risikan dalam satu bulan dan dipercayai dadah ini dari negara jiran dan ketika serbuan suspek dalam proses untuk agih," katanya.

Beliau berkata, pihak polis dalam proses mengesan dalang sindiket dan aset-aset milik kumpulan terbabit untuk tindakan sitaan.

"Setakat ini kita masih di peringkat awal proses sitaan aset dan telah merampas lebih RM100,000 dam masih lagi mengesan harta-harta yang mereka miliki.

Artikel Berkaitan:

"Polis telah menyita sebuah kereta Hyundai Sonata dan Proton Exora serta wang tunai berjumlah RM1,373," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala ujian urin mendapati kedua-duanya negatif dadah.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos lalu dan telah disambung selama enam hari bermula Ahad hingga 2 September.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 jika sabit kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebaran tidak kurang daripada 15 kali," ujarnya.