[VIDEO] Keputusan PH tolak kerjasama dengan PN muktamad: Rafizi

Rafizi berucap pada program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di kawasan parkir Stadium Paroi pada malam Ahad. Foto: FB Foto YAB Menteri Besar Negeri Sembilan
Rafizi berucap pada program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di kawasan parkir Stadium Paroi pada malam Ahad. Foto: FB Foto YAB Menteri Besar Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah muktamad.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat PH pada Rabu lalu.

"Mesyuarat PH pada Rabu lepas, dah buat keputusan noktah, maksudnya kita akan terus berkempen dan masuk pilihan raya sebagai PH.

"Kita sedia maklum sentimen rakyat sebab sentimen rakyat bukan soal siapa berkuasa, rakyat nak satu pembawaan yang benar-benar berjuang untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas selesai Jelajah Trak Ayuh Malaysia di kawasan parkir Stadium Paroi pada malam Ahad.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

Rafizi menegaskan, sekiranya alasan kerjasama dengan PN untuk menumbangkan BN, kerajaan baharu tidak akan stabil.

"Kami dah kena dulu malah rakyat juga sudah tahu bahawa kalau niat itu tidak betul maksudnya hanya menggunakan alasan untuk menumbangkan BN tetapi dasar, jiwa itu tidak kena dan serasi dengan masing-masing, kerajaan itu tidak akan stabil.

"Kami daripada dulu jadi pembangkang, jadi tidak ada jadi isu untuk kita dan macam saya sebut tadi misi kami berbeza.

"Kami hendak mencerdikkan rakyat, kami rasa bahawa fungsi untuk memperbaiki keadaan itu ambil masa, satu peringkat ke satu peringkat bukan semata-mata soal menjadi perdana menteri menjadi kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rafizi ( berdiri 10 dari kiri) dan Aminuddin (berdiri 11 dari kiri) ketika bersama yang hadir pada Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Stadium Paroi pada malam Ahad. Foto: FB Foto YAB Menteri Besar Negeri Sembilan
Rafizi ( berdiri 10 dari kiri) dan Aminuddin (berdiri 11 dari kiri) ketika bersama yang hadir pada Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Stadium Paroi pada malam Ahad. Foto: FB Foto YAB Menteri Besar Negeri Sembilan



Beliau berkata, bagaimanapun beliau tidak pasti sekiranya isu jalin kerjasama dengan PN masih dibincangkan oleh pemimpin lain.

"Pemimpin yang muda macam saya ini orang kata tak ada seni berpolitik, jadi kalau kami kata noktah, noktahlah. Kami tak pusing tapi pimpinan lain saya tak tahulah, mereka lebih lama, umur lebih senior. Jadi saya tak tahu kalau mereka berbincang lagi atau apa

"Tetapi keputusan rasmi memang noktah, maksud noktah tu muktamad lah," katanya.

Beliau menegaskan, apa yang penting pihaknya hanya mahu pertahankan idealisme.

"Menang atau kalah itu belakang kira, kami hendak pertahankan idealisme kami tetapi saya tak boleh bercakap bagi pihak DAP dan Amanah.

"Mereka pemimpin senior yang sudah ada pengalaman berpuluh tahun, ia terpulang kepada mereka. Saya hanya berpegang kepada keputusan di peringkat PH yang memang noktah (tiada kerjasama PN)," katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, parti dalam PH kini lebih menumpukan pada gerak kerja memperkukuh gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

Malah katanya, soal untuk kembali bekerjasama bersama PN tidak wujud dalam agenda parti dalam gabungan PH ketika ini.