Kejohanan Asia pentas pemanas badan Aznil

Aznil akan menyertai Kejohanan Asia di Bahrain pada Oktober ini. - Foto Bernama
Aznil akan menyertai Kejohanan Asia di Bahrain pada Oktober ini. - Foto Bernama
A
A
A

BADANG negara, Muhamad Aznil Bidin mahu membuat persediaan lebih rapi dengan menjadikan Kejohanan Asia 2022 sebagai medan pemanas badan untuk menggegar pentas dunia di Colombia hujung tahun ini.

Mengisi jadual kejohanan terbaharu pemenang pingat emas kategori 61 kilogram (kg) lelaki di Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu ialah Kejohanan Asia di Bahrain pada Oktober ini.

Kejohanan di Bahrain itu menjadi pentas persediaan terbaik buat Aznil dalam usaha mempersiapkan diri ke kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Colombia.

Aznil enggan menoleh ke belakang lagi apabila meletak sasaran untuk meraih kejayaan pada penyertaan di Kejohanan Dunia kelak.

"Saya dimaklumkan akan menyertai Kejohanan Asia di Bahrain Oktober ini. Tentunya kejohanan ini akan menjadi pemanas badan terbaik sebelum aksi kelayakan yang bermula Disember depan.

"Bagi Asia ini, ia masih tidak menawarkan kutipan mata, namun saya akan cuba memberikan saingan kepada peserta lain terutama pencabar utama dari China dan Indonesia," katanya.

Aznil memberitahu, rakan seperjuangan di Sukan Komanwel, Mohamad Aniq Kasdan juga akan bersama-samanya di Bahrain beraksi dalam kategori sama 61 kilogram (kg) lelaki.

Di Sukan Komanwel Birmingham 2022, Aznil merangkul emas dalam kategori disertainya itu dengan angkatan keseluruhan 285 kilogram (kg) iaitu 127kg dalam snatch dan 158kg untuk clean & jerk 158kg, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Komanwel.

Artikel Berkaitan:

Pingat perak dimenangi atlet Papua New Guinea, Morea baru yang melakukan angkatan keseluruhan 274kg, manakala gangsa diraih wakil India, Guruja Poojary menerusi angkatannya, 269kg.

Malah kejayaan di Birmingham itu membolehkan atlet berusia 28 tahun tersebut mempertahankan kilauan emas yang dimenanginya pada temasya 2018 di Gold Coast, Australia.