Muhamad Aznil hadiah pingat emas untuk isteri

Wira Negara Muhammad Aznil Bidin yang merupakan pemenang pingat emas (rekod baharu) angkat berat Sukan Komanwel 2022 bersama isterinya Aina Izzati Masri, 23, ketika tiba di Lapangan Terbang Kepala Batas, pada Ahad. - Foto Bernama
Wira Negara Muhammad Aznil Bidin yang merupakan pemenang pingat emas (rekod baharu) angkat berat Sukan Komanwel 2022 bersama isterinya Aina Izzati Masri, 23, ketika tiba di Lapangan Terbang Kepala Batas, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin yang berjaya mempertahankan pingat emas menerusi kategori 61 kilogram (kg) di Sukan Komanwel 2022, baru-baru ini menghadiahkan kemenangan berkenaan kepada isteri dan ahli keluarganya.

Muhamad Aznil, 28, yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini pada Ahad berkata, kemenangan itu ditujukan khas memandangkan isterinya, Aina Izzati Masri, 23, dan ahli keluarga telah banyak berkorban serta memahami kerjayanya sebagai atlet negara.

"Persiapan saya seterusnya ialah untuk kelayakan ke Sukan Olimpik 2024, jadi saya hendak beri tumpuan pada itu dahulu.

"Sebelum ini memang saya ada nyatakan hasrat untuk bersara pada usia 32 tahun tetapi saya akan tengok pencapaian pada Sukan Komanwel seterusnya. Saya hendak cuba dapatkan emas buat kali ketiga berturut-turut kerana masih belum ada atlet yang berjaya cipta sejarah,” katanya.

Terdahulu, Muhamad Aznil tiba di lapangan terbang berkenaan dari Kuala Lumpur kira-kira 2.15 petang bersama Aina Izzati dan ahli keluarganya sebelum disambut hampir 100 peminat yang menunggu ‘Badang Negara’ itu.

Pada 30 Julai lepas, Muhamad Aznil memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di Pusat Pameran Nasional, Birmingham apabila meraih emas selepas melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285kg sekali gus mencatat rekod baharu temasya.

Sementara itu, Aina Izzati berkata, beliau berbangga atas pencapaian suaminya.

Beliau berkata, buat masa ini Muhamad Aznil akan berehat dan meluangkan masa bersama keluarganya di Kampung Baru, Bukit Pinang di sini kerana sudah lama tidak berjumpa berikutan sibuk membuat persiapan bagi temasya sukan berkenaan. - Bernama