Hospital di Belgium manfaat teknologi dron

Kesesakan lalu lintas di Antwerp terutamanya pada waktu puncak melambatkan urusan penghantaran sampel tisu yang diekstrak ke makmal untuk dianalisis.
Kesesakan lalu lintas di Antwerp terutamanya pada waktu puncak melambatkan urusan penghantaran sampel tisu yang diekstrak ke makmal untuk dianalisis.
A
A
A

ANTWERP - Hospital di Belgium telah mula menguji dron bagi menghantar sampel tisu manusia antara pesakit di meja pembedahan dan makmal perubatan di seluruh pusat bandar.

Penggunaan dron itu bertujuan menjimatkan masa serta kos dan ia adalah yang pertama seumpamanya di Eropah.

Minggu lalu, dron yang diterbangkan oleh kontraktor swasta berlepas dari bangunan hospital kumpulan ZNA di Antwerp dan terbang sejauh 800 meter (m) sebelum mendarat di atas bumbung Hospital GZA Sint-Augustine.

Dron berkenaan membawa kelalang steril yang mengandungi sampel tisu manusia untuk diuji bagi sel kanser.

Penerbangan ujian pertama tersebut diikuti oleh empat lagi penghantaran selepas itu.

Ujian penghantaran sampel tisu menggunakan dron antara dua buah hospital dijalankan pada Selasa lalu di Antwerp.
Ujian penghantaran sampel tisu menggunakan dron antara dua buah hospital dijalankan pada Selasa lalu di Antwerp.

Syarikat swasta Helicus adalah satu-satunya firma di Eropah yang telah diberikan lesen untuk menggunakan pesawat tanpa pemandu untuk tujuan perubatan di antara bandar.

Dron itu sendiri dihasilkan oleh firma Belgium, SABCA dan Helicus berharap dapat membangunkan operasi komersial dengan penerbangan biasa menjelang tahun 2024.

Artikel Berkaitan:

Biarpun ujian penghantaran sampel tisu manusia menggunakan dron sedang berjalan, Kesatuan Eropah (EU) dijangka menerima pakai peraturan baharu tahun depan yang menyaksikan penerbangan perubatan dibenarkan merentasi blok 27 anggotanya.

Dron mempercepatkan urusan penghantaran sampel tisu manusia dari bilik bedah ke makmal yang terletak jauh antara satu sama lain.
Dron mempercepatkan urusan penghantaran sampel tisu manusia dari bilik bedah ke makmal yang terletak jauh antara satu sama lain.

Jimat masa

Ketua Eksekutif Helicus, Michael Shamim memberitahu AFP bahawa pihak hospital telah menjimatkan kos dengan memusatkan makmal ujian tetapi kemudian mendapati mereka lebih jauh dari pesakit.

“Anda memerlukan sistem logistik yang pantas dan di situlah dron memainkan peranan,” katanya.

Tambah Shamim, dron tidak terjejas oleh kelewatan disebabkan masalah kesesakan lalu lintas atau penutupan jalan.

“Maka laluan terus dron antara kemudahan hospital selalunya lebih pantas dan ia juga lebih muda dijangka,” ujarnya.

Ujian penerbangan dron bagi membawa sampel tisu manusia dijalankan oleh kontraktor swasta, Helicus di Antwerp pada Selasa lalu.
Ujian penerbangan dron bagi membawa sampel tisu manusia dijalankan oleh kontraktor swasta, Helicus di Antwerp pada Selasa lalu.

Dua kumpulan hospital terbesar Antwerp, ZNA dan GZA mengendalikan 1,200 sampel tisu yang diekstrak semasa pembedahan saban tahun serta mesti dianalisis dengan pantas untuk menentukan perjalanan operasi.

Buat masa ini, sampel berkenaan dibawa ke empat makmal di bandar itu melalui jalan raya dan kadangkala penghantaran dibuat menggunakan teksi.

“Apabila mengeluarkan tumor, pakar bedah cuba menyelamatkan tisu sekeliling sebanyak mungkin.

“Tetapi untuk memastikan tumor telah dikeluarkan sepenuhnya, sampel dihantar ke makmal semasa prosedur dan keputusan mesti dibuat dalam masa 30 minit,” kata pakar patalogi, Sabine Declercq.

Laluan dron dipantau oleh dua kakitangan syarikat Helicus.
Laluan dron dipantau oleh dua kakitangan syarikat Helicus.

Buat masa ini, hanya sampel yang bertujuan dianalisis seperti tisu manusia dan air kencing sahaja boleh dibawa oleh dron, namun Helicus berharap suatu hari nanti ia dapat memudahkan urusan penghantaran pemindahan darah dan organ penderma terus kepada pesakit. - AFP