PKP tidak halang pelajar cemerlang
KOTA BHARU - Kesungguhan guru dan pentadbiran Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Anuar, Pulau Melaka mengajar secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipuji kerana membawa kejayaan cemerlang pelajar.
Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mewakili Menteri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ibu bapa turut memikul tanggungjawab itu bagi mengelakkan anak-anak tercicir dalam pelajaran.
"Cabaran ketika itu juga, anak-anak terdedah dengan pemikiran bebas yang banyak dipaparkan di internet dan bercanggah dengan nilai-nilai Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMUA Darul Anuar, Pulau Melaka 2022 di sini pada Sabtu.
Hadir sama, wakil Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Haron Ismail yang turut memuji kesungguhan pihak sekolah mencari dana untuk perbelanjaan keceriaan sekolah agama itu.
Tambah beliau, sekolah yang diambil alih oleh Yayasan Islam Kelantan pada 2019 itu mengadakan MAT PIBG kali pertama pada tahun sama dan tahun berikutnya tidak dapat dilaksanakan akibat PKP.
Bagaimanapun katanya, MAT PIBG dapat dilaksanakan tahun lepas secara hibrid melibatkan melibatkan ibu bapa secara atas talian.
"Kali ini kita lebih bertuah kerana hampir 200 ibu bapa dan guru hadir secara bersemuka," katanya.
Pihak sekolah turut memberikan anugerah kepada sembilan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2021 dan 22 pelajar Sijil Menengah Ugama.
Pada majlis itu, pasangan kembar dari Kemboja, Najihah Sles mendapat keputusan tertinggi peringkat sekolah dengan 8A manakala Najidah Sles mendapat 6A sekali gus menjadi pelajar ketiga terbaik.
Turut menerima anugerah cemerlang ialah Nasyuha Syuhada Amri yang merupakan pelajar kedua terbaik dengan 7A.