'Letak jawatan jika gagal'

Gambar kiri: Khalid Ali
Gambar kiri: Khalid Ali
A
A
A

PIHAK pengurusan Selangor FC harus melepaskan jawatan yang disandang mereka sekiranya gagal menjelmakan apa-apa kejuaraan buat gergasi Lembah Klang itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Nada tegas itu disuarakan legenda Selangor, Khalid Ali yang mendakwa pengurusan The Red Giants gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik sehingga gagal memperoleh sebarang trofi sejak beberapa musim lalu.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk pihak pengurusan bertanggungjawab dengan prestasi buruk yang melanda Selangor beberapa tahun ini. Sudah lama sebenarnya kita bagi peluang untuk mereka menguruskan pasukan.

“Sebab dengan bajet yang diberikan kepada Selangor ketika ini, saya rasa mereka sepatutnya boleh pergi lebih jauh daripada apa yang ditampilkan sekarang.

“Kalau ikut lumrah bola sepak, jika tiada kejayaan, mereka perlu letak jawatan dan beri kepada pengurusan baharu. Mungkin pengurusan baharu boleh bagi impak yang lebih baik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Selangor FC yang kini dibimbing jurulatih sementara, Nidzam Jamil mengalami kemerosotan prestasi sehingga menyaksikan mereka mengalami lima kekalahan berturut-turut.

Situasi itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong Selangor FC yang mendesak satu rombakan dilakukan dalam pengurusan pasukan.

Dalam pada itu, Khalid Ali menggesa pihak pengurusan Selangor FC mencari jurulatih yang berwibawa bagi menggalas tugas memulihkan semula imej skuad Gergasi Merah.

Artikel Berkaitan:

“Dia (Nidzam) jurulatih yang baik dan mempunyai rekod baik, tetapi pengalamannya masih belum cukup. Jadi saya cadangkan Selangor supaya lihat kepada jurulatih yang berpengalaman dan dibantu oleh Nidzam.

“Saya rasakan Selangor perlu mempertimbangkan untuk melantik jurulatih tempatan yang berkualiti dan mampu membimbing Selangor, bukan jurulatih dari luar negara.

“Antara nama yang rasa sesuai untuk mengemudi Selangor seperti Datuk Ong Kim Swee, Tan Cheng Hoe, Datuk K. Rajagobal,”ujarnya.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor menjulang trofi adalah pada 2015 ketika menjadi juara Piala Malaysia, manakala tahun 2010 merupakan kali terakhir Gergasi Merah mendakap kejuaraan Liga Super.