Lebih 200 motosikal ke pulau bersiar, bukan lumba haram: Polis

Motosikal yang ditahan dan dibawa ke IPD Timur Laut untuk pemeriksaan. (Gambar kecil: Soffian)
Motosikal yang ditahan dan dibawa ke IPD Timur Laut untuk pemeriksaan. (Gambar kecil: Soffian)
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan tiada penganjuran kegiatan lumba haram di beberapa lokasi di negeri ini seperti yang tular di media sosial sejak malam Sabtu.

Polis bagaimanapun mengesahkan terdapat beberapa kumpulan remaja yang menunggang motosikal di sekitar Padang Kota Lama dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pasukan khas yang bertugas mendapati, sebanyak lebih 200 buah motosikal telah memasuki kawasan pulau sejak jam 12 tengah malam, Sabtu.

Menurutnya, risikan dan maklumat mendapati, kumpulan tersebut yang terdiri daripada remaja yang berasal dari Kedah, Seberang Perai dan Johor itu masuk ke kawasan pulau hanya untuk bersiar-siar.

"Berdasarkan intipan, risikan dan maklumat yang diperolehi, tidak terkesan perancangan aktiviti lumba haram pada malam tadi (Sabtu). Mereka hanya datang ke sini (pulau) untuk bersiar-siar dan bersantai hujung minggu.

"Dari Jambatan Pulau Pinang, mereka bergerak dalam kumpulan ke Padang Kota Lama melalui Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu. Selepas bersiar-siar, mereka berhenti di sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini pada Ahad.

Sejak awal pagi Ahad, tular di media sosial mengenai beberapa kumpulan motosikal yang memasuki Pulau Pinang dipercayai mahu berlumba haram.

Beliau berkata, ketika di stesen minyak tersebut, ada beberapa kumpulan telah bersurai dan tinggal sebahagian sahaja di situ.

Artikel Berkaitan:

"Ketika sebahagian daripada kumpulan itu sedang berkumpul di stesen minyak berkenaan, polis berjaya menahan 23 penunggang motosikal pada jam 1.30 pagi dan dibawa balik ke IPD Timur Laut untuk pemeriksaan.

"Sembilan daripada 23 motosikal yang ditahan telah disita kerana pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 48 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan antaranya mengubahsuai motosikal, tiada lesen memandu, nombor plat tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, tiada cukai jalan dan banyak lagi," katanya.

Menurut Soffian berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 16 hingga 25 tahun dan mereka didapati tidak mengenali antara satu sama lain, sebaliknya hanya menyertai kumpulan motosikal tersebut untuk bersiar-siar sekitar bandar.

"Bagaimanapun, tindakan mereka itu mengganggu pengguna jalan raya lain kerana menunggang secara berkumpulan di semua lorong dan menyukarkan kenderaan lain," katanya.

Soffian menambah, polis akan sentiasa menjalankan pemantauan dan risikan bagi membendung kegiatan lumba haram di negeri ini.

Sebelum ini, dalam kejadian awal pagi 17 Julai lalu, lima maut manakala dua penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Polis berkata, kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.