Projek tebatan banjir selesaikan masalah penduduk Van Praagh

Zairil (kiri) menunjukkan kerja-kerja yang dijalankan untuk membina Projek Tebatan Banjir Van Praagh di Jelutong pada Ahad.
Zairil (kiri) menunjukkan kerja-kerja yang dijalankan untuk membina Projek Tebatan Banjir Van Praagh di Jelutong pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Lebih 300 penduduk melibatkan lebih 70 buah rumah di kawasan Van Praagh, Jelutong boleh menarik nafas lega apabila projek tebatan banjir di Solok Van Praagh sedang dijalankan bagi menyelesaikan masalah dihadapi sejak 30 tahun lalu.

Antara kawasan banjir kritikal adalah Solok Van Praagh, persimpangan Jalan Van Praagh, Jalan Sir Ibrahim, Lengkui Hijau dan Lintang Slim.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, projek dibiayai kerajaan negeri bermula 1 Jun lalu dengan kos RM5.7 juta yang dijangka siap pada 31 Mei 2024 itu dilihat bukan sahaja menyelesaikan masalah penduduk di Van Praagh, malah beberapa kawasan berdekatan dengan menyediakan aras perlindungan banjir kepada penduduk.

"Projek ini melibatkan kolam takungan banjir bawah tanah berkapasiti 5,175 meter (m) persegi dengan keluasan 2,200 meter persegi serta 2.6 meter dalam. Ia menyamai dua buah kolam renang Sukan Olimpik.

"Projek tebatan ini juga merangkumi tanjakan akses (access ramp). Selain itu, projek ini juga merangkumi saluran lencongan bersaiz 1.5m X 0.75m dengan 80m panjang yang berfungsi mengalirkan sebahagian aliran air dari Jalan Hamilton ke kolam takungan," katanya pada sidang akhbar di Jelutong di sini pada Ahad.

Beliau menambah, projek tebatan tersebut dianggap unik kerana ia dibina di bawah tanah dan tidak melibatkan di bahagian atas tanah.

"Projek tebatan ini adalah fasa ketiga adalah bermula pada 2019 iaitu pembesaran parit sedia ada dan fasa kedua adalah pembinaan dua buah takungan air bersaiz kecil serta pelebaran jalan raya menjadi 4m," katanya.

Zairil berkata lagi, kawasan tersebut merupakan kawasan rendah yang akan berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga mempunyai dia buah pintu kepak dengan diameter 0.75m di Sungai Jelutong. Lencongan Sungai Jelutong sedia ada sepanjang 1.2 kilometer (km) merupakan lembangan sungai utama bagi kawasan Solok Van Praagh dengan jumlah keluasan tadahan 0.57km persegi," katanya.

Mengulas mengenai punca utama banjir di kawasan tersebut, Zairil berkata, hujan lebat menyebabkan air larian permukaan yang banyak dan berkelajuan tinggi dari bahagian hulu ke hilir.

Antara punca lain katanya, kapasiti longkang dan pembetung sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air hujan ketika hujan lebat.

"Kesan 'backwater' dari lencongan Sungai Jelutong yang menyebabkan air dari sistem perparitan utama tidak dapat mengalir dengan sempurna," katanya.