Kakitangan MBPJ maut nahas motosikal

Keadaan motosikal mangsa dalam kemalangan yang mengorbankan Mohd Zairol di Kuala Kangsar pada Sabtu. Foto: Ihsan pembaca
Keadaan motosikal mangsa dalam kemalangan yang mengorbankan Mohd Zairol di Kuala Kangsar pada Sabtu. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 243.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu, mangsa, Mohd Zairol Idris, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa hilang kawalan.

"Mangsa dalam perjalanan menuju ke utara menunggang di lorong kiri sebelum hilang kawalan dan terbabas hingga masuk ke lorong kanan.

"Kenderaan mangsa merempuh besi penghadang di tengah lebuh raya. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah," katanya di sini.

Dalam pada itu, Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Artikel Berkaitan:

"Bedah siasat akan dijalankan pada Ahad. Tindakan telah diambil dengan menahan kenderaan terlibat untuk pemeriksaan.

"Saksi bebas telah dikesan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelas beliau.