Saya tak pernah minta Ismail Sabri gugur kes: Zahid

Ahmad Zahid (kiri) dan Ismail Sabri.
Ahmad Zahid (kiri) dan Ismail Sabri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak pernah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan untuk menggugurkan kes mahkamahnya.

Ia sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau terdesak untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Baik PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mahupun PM9 (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), saya tak pernah minta mereka campur tangan untuk gugurkan kes saya.

"Saya masih percaya bahawa sistem perundangan kita tidak memihak kepada mana-mana individu.

"Buat ahli UMNO, saya tegaskan, sesiapa yang memomokkan bahawa saya takut atau gentar akan disabitkan kesalahan, saya yakin orang itulah sebenarnya yang takut dengan hamba ALLAH yang bernama Ahmad Zahid Hamidi dan dialah yang sebenarnya tidak yakin kepada diri sendiri dan takut dengan bayang-bayang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Khas Presiden UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, desakan untuk segera mengadakan PRU15 dibuat dengan mengambil kira suara ahli UMNO dan bukannya suara sumbang yang ingin menguburkan UMNO.

"Kita tidak gopoh serta gilakan kuasa dan jawatan kerana ini adalah keputusan parti dan akar umbi.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan keputusan Zahid Hamidi atau Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan). Ia suara dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung Khas UMNO.

"Realiti sebenar adalah fakta menunjukkan senario politik yang terumbang-ambing meletakkan ekonomi negara kini dalam keadaan kian meruncing. Kestabilan dan kebajikan yang dilaungkan umpama sebuah dongengan belaka.

"Hakikatnya, politik yang stabil tidak akan bergantung kepada beberapa helaian kertas perjanjian semata-mata," jelasnya.