Dokumen kes Rosmah tular: Polis gesa laporan dibuat

Sinar Harian melaporkan tular dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. (Gambar kanan) Azmi
Sinar Harian melaporkan tular dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. (Gambar kanan) Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis meminta individu berkaitan untuk tampil membuat laporan mengenai penularan dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini tiada laporan polis diterima pihaknya.

"Setakat ini Polis Kuala Lumpur tidak ada menerima laporan mengenai perkara itu.

"Saya minta mana-mana pihak untuk tampil buat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan," katanya pada Jumaat.

Difahamkan, dokumen terdiri daripada tiga muka surat kertas keputusan kes berkenaan tersebar dalam sebuah laman web, pada Jumaat, yang sepatutnya akan diputuskan di Mahkamah Tinggi pada 1 September ini.

Ini adalah kejadian kedua dalam minggu ini selepas polis mengesahkan menerima laporan mengenai dokumen tular yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Sebelum ini Rosmah diperintah membela diri pada 18 Februari tahun lalu terhadap tiga tuduhan rasuah.

Rosmah mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin.

Artikel Berkaitan: