Burger 'Zinger Gemilang' semarakkan Bulan Kemerdekaan

Burger 'Zinger Gemilang' dihasilkan bagi menzahirkan rasa patriotik dan cintakan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. - Foto Bernama
Burger 'Zinger Gemilang' dihasilkan bagi menzahirkan rasa patriotik dan cintakan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemilik kedai makan di Kota Sarang Semut dekat sini, mencipta burger ‘Zinger Gemilang’ bagi menzahirkan semangat patriotisme dan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

Asyraf Hashim, 29, mencipta burger bertema Jalur Gemilang itu dengan gabungan roti berwarna merah atau biru, keju (kuning) dan mayonis (putih), selain setiap bungkusannya dicetak Jalur Gemilang.

"Ini merupakan tahun kedua kami menyediakan menu ini. Sebagai anak Malaysia, kami fikir apa yang boleh dilakukan untuk turut sama menyemarakkan Bulan Kemerdekaan dan dari situlah datangnya idea untuk menyediakan burger Zinger Gemilang ini.

"Roti burger ini, yang dibuat sendiri setiap hari, menggunakan bahan pewarna dibenarkan dan ada dua pilihan warna, merah atau biru yang pelanggan boleh memilih, selain jenis patty (kepingan daging) ayam atau daging,” katanya kepada Bernama di sini, pada Sabtu.

Asyraf berkata, warna burger itu sendiri menjadi tarikan utama pelanggan, selain rasa istimewa perapan pada isi ayam dan daging.

"Selain itu, kita juga akan letakkan ‘meatkraker’ dan keju Mozarela di antara roti dan isi burger yang pastinya akan memberi pelbagai rasa sensasi kepada mereka yang mencuba burger berkenaan,” katanya.

Asyraf berkata, burger berharga RM9.90 itu dijual selama dua minggu bermula Jumaat dan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan, mereka akan menjual menu berkenaan sehingga Hari Malaysia pada 16 September ini.

"Kami akan terus menjual burger ini pada setiap tahun sempena Hari Kebangsaan tetapi mungkin inovasinya akan berubah-ubah.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lepas, isi burger ayam yang berwarna merah dan biru, tahun ini roti pula dan tahun hadapan mungkin ada kejutan lain pula,” katanya. - Bernama