Tidak adil parti politik persoal kebebasan badan kehakiman

Muhyiddin (tiga dari kiri) semasa Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang pada Sabtu.
Muhyiddin (tiga dari kiri) semasa Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Perikatan Nasional (PN) menegaskan tidak adil bagi mana-mana parti politik untuk mempersoalkan kebebasan badan kehakiman dan membuat ugutan terhadap hakim apabila pemimpin mereka dijatuhkan hukuman.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka seharusnya akur dengan keputusan mahkamah.

“Tidak adil bagi mana-mana parti politik untuk mempersoalkan kebebasan badan kehakiman, apa lagi membuat ugutan terhadap para hakim apabila pemimpin mereka dijatuhkan hukuman.

“Akurlah dengan keputusan mahkamah,” katanya semasa merasmikan Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, adalah menjadi prinsip gabungan itu untuk menjunjung kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Selain itu, Muhyiddin dalam ucapannya turut berkata bahawa beliau menyedari terdapat garis pemisah yang amat kabur antara pendanaan politik dan rasuah.

Disebabkan itu, beliau berpandangan sebuah Akta Pendanaan Politik wajar digubal bagi mewujudkan budaya politik yang bebas rasuah dan berintegriti.

Katanya, sebuah jawatankuasa di peringkat PN boleh ditubuhkan untuk mengkaji cadangan ini dengan lebih terperinci sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga turut mahukan subjek transformasi politik yang bebas rasuah dan berintegriti menjadi agenda utama PN.

“Yang boleh dibahas dengan lebih lanjut di dalam konvensyen ini dan dikemukakan syor-syor untuk diteliti oleh Majlis Tertinggi PN dan diambil tindakan susulan,” katanya.