Setuju kerajaan ratifikasi triti angkasa lepas antarabangsa

Dua objek yang disyaki sisa serpihan roket Long March 5B milik China dikesan berlaku pada 31 Julai lalu.
Dua objek yang disyaki sisa serpihan roket Long March 5B milik China dikesan berlaku pada 31 Julai lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Angkasa Malaysia yang bersidang buat pertama kali semalam secara dasarnya bersetuju supaya kerajaan meratifikasi triti angkasa lepas antarabangsa selaras dengan keutamaan dan kepentingan negara.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah triti berkaitan keselamatan dan liabiliti yang terkait isu penemuan objek disyaki roket di sekitar Sarawak pada hujung Julai lepas.

MOSTI berkata, berkaitan isu penemuan objek disyaki itu, perkara berkenaan sedang dalam siasatan lanjut pihak Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Jabatan Kimia Malaysia.

Pada 31 Julai lepas, MYSA berkata, kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China ke ruang udara bumi dikesan berlaku pada 12.55 tengah malam (31 Julai).

Ia turut memaklumkan serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar itu turut melintasi ruang udara Malaysia selain dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk ruang udara Sarawak.

Lembaga Angkasa Malaysia antara lain bertanggungjawab mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, pendaftaran projek angkasa dan peruntukan bagi kesalahan aktiviti angkasa.

Ia juga akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat, terjamin dan mematuhi peraturan dan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan: