Waspada amaran ribut petir mulai Sabtu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang awam supaya sentiasa merujuk laman web dan semua media sosial agensi itu berikutan negara dijangka menerima tiupan angin lemah dan pelbagai hala bermula Sabtu hingga 30 Ogos ini.

Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, tiupan angin lemah dan pelbagai hala itu berpotensi menyebabkan pembentukan awan ribut petir terutama pada sebelah petang sehingga malam.

Muhammad Helmi
Muhammad Helmi



Ujarnya lagi, orang ramai turut disarankan memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.

“Fenomena cuaca ini boleh berlaku sepanjang tahun dan biasanya berlaku pada waktu petang dan senja.

“Oleh itu, orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan penggunaan telefon atau kelengkapan elektrik kecuali kecemasan semasa berlakunya ribut petir.

“Mereka perlu berlindung dalam rumah atau bangunan kukuh serta menjauhi struktur tinggi termasuk pokok dan elakkan mendekati rod pengalir elektrik seperti tiang elektrik dan tangga besi.

“Jika berlaku kilat dan tiada bangunan kukuh, masuk ke dalam kereta dan menutup tingkap selain menjauhi diri daripada sebarang sumber air,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai tiupan angin lemah dan pelbagai hala itu, beliau berkata antara kawasan terlibat ialah negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, Sarawak (tengah dan utara), barat Sabah serta Labuan.

“Fenomena berkenaan dikesan berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMRWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS),” ujarnya.