Kerajaan salur RM20.941 bilion bagi program subsidi upah

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM20.941 bilion kepada 357,948 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) untuk mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan setakat 5 Ogos 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha yang bertujuan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja tempatan juga menyaksikan sebanyak 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Permohonan subsidi upah yang diluluskan telah pun mencapai nilai RM12.958 bilion," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-108 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, sejumlah RM1.408 bilion di bawah PSU 2.0 Pakej Kita Prihatin telah disalurkan kepada 81,165 majikan untuk terus beroperasi selain mengekalkan penggajian bagi 719,294 pekerja.

PSU 3.0 di bawah Belanjawan 2021 pula meliputi RM3.776 bilion yang disalurkan kepada 162,319 majikan untuk mengekalkan penggajian bagi 1.53 juta pekerja.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, PSU 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang merangkumi RM2.579 bilion telah disalurkan kepada 164,004 majikan bagi mengekalkan penggajian untuk 1.92 juta pekerja.

"PSU 5.0 di bawah Bajet 2022 membabitkan RM219.653 juta telah disalurkan kepada 8,018 majikan dan mengekalkan penggajian bagi 123,759 pekerja,” katanya.

Setakat 12 Ogos lepas, program KPT-PACE di bawah PENJANA Bajet 2022 kendalian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menyalurkan baucar tunai bernilai RM21.902 juta kepada 6,799 penuntut tahun akhir dan graduan menerusi pensijilan profesional berasaskan kepakaran, kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi tempoh sama, program MySTEP yang menawarkan peluang pekerjaan secara kontrak pula berjaya menempatkan seramai 40,095 pekerja iaitu masing-masing 20,773 orang ditempatkan di sektor awam manakala 19,322 lain dalam sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mempelawa rakyat Malaysia untuk turut mengemukakan cadangan bagi Bajet 2023.

"Sebagai pelengkap kepada Konsultasi Bajet pada 23 Ogos, 2022, Kementerian Kewangan telah melancarkan Portal Cadangan Bajet 2023 untuk meningkatkan keterbukaan pihak kerajaan menerusi penglibatan semua rakyat dalam proses penyediaan bajet tahunan yang lebih telus dan mencerminkan keperluan rakyat.

"Seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan dengan melayari laman web kementerian di pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/,” katanya. - Bernama