Sumbangan Najib kepada rakyat terus dikenang

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menyifatkan sumbangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada negara dan rakyat akan terus diingati di sebalik hukuman yang dikenakan ke atas pemimpin parti itu.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati dan dukacita di atas keputusan mahkamah yang mengekalkan sabitan kesalahan ke atas Najib pada Selasa lalu.

Menurutnya, meskipun menghormati keluhuran Institusi Kehakiman, UMNO Perak berasa kecewa kerana Najib gagal dalam usahanya untuk mengemukakan bukti-bukti baharu bagi diguna pakai bagi mempertahankan haknya di dalam perbicaraan tersebut.

"Pun begitu, keputusan menjatuhkan hukuman terhadap mantan presiden UMNO itu tidak akan mampu memadam ingatan rakyat terhadap jasa, sumbangan dan bakti besar yang telah beliau taburkan kepada rakyat dan negara selama ini.

"Walaupun beliau dikurung di sebalik tirai besi, semangat perjuangan beliau akan diteruskan oleh setiap pemimpin dan anggota parti bagi memastikan prinsip keadilan yang selama ini menjadi antara tiang negara dapat kembali ditegakkan," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Dalam pada itu, Saarani meminta supaya semua ahli parti bertenang dan tidak putus harapan.

Jelasnya, semangat juang Najib perlu diteruskan demi memastikan UMNO dan BN memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Artikel Berkaitan:

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Najib, 69, gagal membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 8 Disember.