Dunia perlu terus cegah 'Perang Dingin Baharu'

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

BEIJING - Wakil tetap China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun berkata, seluruh dunia perlu mencegah berlakunya ‘Perang Dingin Baharu’.

Beliau berkata, krisis Ukraine dan beberapa siri pergeseran dunia membuktikan pentingnya untuk dunia bekerjasama dan bersatu padu bagi mendepani cabaran.

"Semua pihak perlu berwaspada terhadap sebarang niat untuk mencetuskan provokasi dan perpecahan serta pertentangan bagi melindungi kestabilan strategik global, sekali gus mencegah daripada tercetusnya ‘Perang Dingin Baharu’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri mesyuarat terbuka mengenai isu Ukraine anjuran Majlis Keselamatan PBB, pada Rabu.

Zhang menegaskan bahawa perluasan kuasa NATO ke Timur gagal membawa keselamatan kepada Eropah, sebaliknya hanya menanam ‘benih risiko konflik’.

"Hakikatnya, umat manusia merupakan komuniti keselamatan yang tidak boleh dipisahkan.

"Oleh itu, keselamatan bersama adalah selaras dengan kepentingan bersama pelbagai negara,” kata beliau.

Zhang berkata pendirian China dalam isu Ukraine adalah tegas dan tidak berubah.

Artikel Berkaitan:

"Pertama, undang-undang kemanusiaan antarabangsa perlu dijadikan kod tata laku pihak terbabit dan kemudahan awam tidak boleh dijadikan sasaran serangan ketenteraan.

"Kedua, masyarakat antarabangsa bukan sahaja perlu berusaha membantu pelarian Ukraine mengatasi kesukaran, malah perlu sebaik mungkin mengurangkan impak akibat konflik terhadap bahan makanan, sumber tenaga dan kestabilan kewangan.

"Ketiga, pihak Rusia dan Ukraine perlu terus mengekalkan dialog supaya mengadakan semula rundingan diplomatik seawal mungkin sehingga dapat menamatkan peperangan,” tambahnya.

Zhang berkata Amerika Syarikat (AS) dan NATO perlu memikirkan semula peranan masing-masing supaya dapat memberi perhatian pada isu sebenar yang mampu mewujudkan keamanan. - Bernama