Santo juara pertama Liga Penalti Gorilla 2022

Santo menerima hadiah disampaikan Nik Nur Syazwani Natasya. - Foto Kamarul Akhir
Santo menerima hadiah disampaikan Nik Nur Syazwani Natasya. - Foto Kamarul Akhir
A
A
A

PEMANDU Grab, Mohammad Firdaus Yusof atau lebih dikenali sebagai Santo, muncul pemenang bagi kejohanan sulung Liga Penalti Gorilla 2022 yang berlangsung di Radia Arena, Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.

Mohamad Firdaus berkata, dia sememangnya gembira dengan kemenangan itu biarpun hanya menyertai pertandingan secara solo berbanding pasukan lain yang mendaftar sekurang-kurangnya lima pemain.

Katanya, biarpun berseorangan, dia menyelamatkan lebih 20 sepakan penalti selain menjaringkan lebih 50 gol sebelum layak beraksi ke peringkat akhir.

"Saya memilih untuk sertai Liga Penalti kerana boleh bermain berseorangan, tak banyak peraturan macam bola sepak dan mudah disertai.

"Selain itu, saya juga sangat gembira apabila berjaya membawa pulang hadiah kemenangan yang lumayan," katanya.

Untuk rekod, Mohamad Firdaus yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur mula mengambil bahagian dalam sukan Liga Penalti sejak 2017 lalu dan hampir setiap minggu dia menyertai Liga Penalti yang dianjurkan sekitar Lembah Klang.

Santo ketika beraksi di Liga Penalti Gorilla. - Foto Kamarul Akhir
Santo ketika beraksi di Liga Penalti Gorilla. - Foto Kamarul Akhir

Bagaimanapun, bagi Liga Penalti Gorilla 2022, dia mendaftarkan pasukan Santo dengan hanya seorang pemain bagi mengharungi Liga Penalti berkenaan berbanding dengan pasukan lain yang mendaftar lima pemain.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, 130 pasukan menyertai Liga Penalti Gorilla 2022 selain 16 pasukan menyertai Liga Bola Jaring Gorilla di Radia Arena, Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.

Kejuaraan turut diserikan lagi dengan kehadiran dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Muhammad Zahril Azri Zabri.

Pemenang membawa pulang wang tunai bersama piala berserta barangan rasmi daripada Gorilla pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Pengurus Pemasaran Guerilla PLT, Nik Nur Syazwani Natasya Nik Mohd Juzaili.

Sementara itu, Nik Nursyazwani berkata, penganjuran Liga Penalti Gorilla merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada orang ramai.

Malah beliau berkata, pihaknya juga bercadang untuk menganjurkan Liga Penalti Gorilla di peringkat akar umbi pada masa akan datang.

"Liga Penalti Gorilla ini tidak memerlukan skil atau stamina yang tinggi dan ia boleh disertai oleh semua peringkat umur dan golongan," katanya.