PRU15: DHPP minta tiga kerusi Parlimen, 12 DUN

N Balasubramaniam (kiri) bersama Yohanis pada sidang akhbar di KIAS Jerantut pada Khamis.
N Balasubramaniam (kiri) bersama Yohanis pada sidang akhbar di KIAS Jerantut pada Khamis.
A
A
A

JERANTUT - Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) menyuarakan hasrat mereka bertanding atas ihsan tiket parti Pas di tiga buah kerusi Parlimen dan 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua DHPP Malaysia, Senator N Balasubramaniam berkata, mereka menyerahkan persetujuan tersebut kepada Pas Pusat selain menjelaskan hasrat DHPP selari dengan semangat setiakawan.

Menurut beliau, DHPP adalah tulang belakang perjuangan Pas dengan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sejak PRU14 lalu.

"Pada PRU14, Pas memberikan laluan kepada ahli (calon) DHPP bertanding di tiga buah Parlimen dan 18 DUN.

"Tetapi untuk untuk PRU15 nanti, kita juga memohon bertanding tiga Parlimen, manakala 12 DUN sahaja.

"Namun DHPP menyerahkan persetujuan kepada Pas Pusat untuk menentukan kawasan bagi meletakkan calon sayap ini kerana kami tetap yakin dan percaya dengan keikhlasan pemimpin (Pas) yang selama ini menjadi 'sahabat' akrab bersama kami (DHPP) yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada pemberita pada sidang akhbar di Kompleks Imam As Syafie (KIAS) Pas di Kampung Temin di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Yohanis Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, DHPP juga akan berusaha sekurang-kurangnya satu kawasan Parlimen dan beberapa DUN dimenangi oleh calon mereka yang bertanding atas tiket Pas berasaskan peningkatan sokongan ahli serta bantuan daripada Pas sendiri.

Beliau yang juga Ketua DHPP Pahang dan Jerantut memberitahu, sehingga ini seramai 62,768 ahli DHPP seluruh negara memberikan sokongan penuh kepada perjuangan Pas untuk memastikan kemenangan parti tersebut di setiap kawasan yang dipertandingkan pada PRU15 nanti.

Sementara itu, Balasubramaniam berkata, DHPP dengan persetujuan Pas Pahang berhasrat meletakkan calonnya sekali lagi untuk bertanding satu kawasan Parlimen dan satu DUN di Pahang pada PRU15 ini.

"Kita akan berunding dengan Pas Pusat dan Pahang untuk meletakkan calon berkenaan termasuk di tempat lain dan bagaimanapun terserah kepada keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan Pas nanti," ujar beliau.

Untuk rekod, pada PRU14, Balasubramaniam pernah bertanding atas tiket Pas di Parlimen Bentong (P89) namun tewas dengan memperoleh 5,706 undi yang menyaksikan kerusi itu dimenangi calon PH-DAP, Wong Tack.

Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik perancangan Pas untuk meletakkan calon dalam kalangan ahli DHPP bertanding atas tiket Pas pada PRU15 sekali lagi sebagai satu penghormatan dan semangat setiakawan serta sedia menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin.

“Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang perbincangan atau pengesahan mengenai perkara itu daripada pihak pimpinan Pas,” jelas beliau.