Remaja 14 tahun, empat lain ditahan kes culik bayi

Antara barangan yang dirampas daripada kesemua suspek yang ditahan untuk membantu siasatan.
Antara barangan yang dirampas daripada kesemua suspek yang ditahan untuk membantu siasatan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja perempuan bawah umur ditahan bersama empat individu lain termasuk teman lelakinya bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang bayi berusia sembilan bulan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, remaja berusia 14 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya dan seorang lagi rakan lelaki mereka masing-masing berusia 18 tahun.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di sebuah pondok di Machang Bubok di sini selepas polis menerima laporan daripada bapa bayi tersebut yang berusia 26 tahun.

Menurutnya, serbuan pertama yang dibuat pada jam 11.50 malam hari sama itu bagaimanapun tidak menjumpai bayi berkenaan.

"Selepas menahan tiga suspek, kita menyerbu sebuah rumah di Kulim, Kedah kira-kira jam 12 tengah malam (hari sama) lalu menahan seorang wanita berusia 43 tahun dan suaminya berusia 30 tahun.

"Wanita dan lelaki tersebut adalah ibu dan bapa tiri kepada teman lelaki remaja perempuan berkenaan.

"Kita menemui bayi perempuan tersebut dalam serbuan kedua yang mana, mangsa ketika itu berada di dalam sebuah van milik syarikat tempat lelaki tersebut bekerja," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini pada Khamis.

Cheng San berkata, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian air kencing mereka juga negatif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih menyiasat motif kejadian ini termasuk sama ada kesemua suspek terlibat dalam sindiket penculikan atau sebaliknya.

Cheng San (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek utama yang ditahan untuk membantu siasatan.
Cheng San (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek utama yang ditahan untuk membantu siasatan.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati, bayi tersebut dibawa ke pondok tersebut terlebih dahulu sebelum dibawa ke rumah di Kulim.

"Kesemua suspek sudah direman selama empat hari bermula 24 hingga 27 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Mengulas mengenai kejadian pada jam 5.30 petang, 23 Ogos lalu, Cheng San menambah, bayi tersebut dijaga oleh nenek suspek remaja perempuan sejak lapan bulan lalu dengan bayaran RM500 sebulan sebelum diculik.

"Ketika kejadian, nenek suspek yang berusia 65 tahun sedang solat di dalam bilik manakala kakak suspek yang berusia 18 tahun sedang mengasuh tiga orang lagi kanak-kanak di dalam bilik berbeza. Suspek ketika itu sedang menjaga mangsa di ruang tamu.

"Bagaimanapun, selepas selesai solat, nenek suspek mendapati cucunya dan mangsa tiada di ruang tamu lalu mencari kedua-dua mereka.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek mendukung mangsa pada jam 5.19 petang dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 tanpa memakai topi keledar," katanya.

Beliau menjelaskan, remaja perempuan tersebut sudah tidak bersekolah sejak berusia 13 tahun dan tidak tinggal secara tetap bersama neneknya manakala keluarga suspek sudah bercerai.

"Bapa kepada mangsa telah membuat laporan polis selepas dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa anak tunggalnya itu.

"Bapa mangsa cuba menghubungi suspek, namun tidak berjaya," kata beliau lagi.

Menurutnya, kesemua suspek tidak bekerja kecuali bapa tiri kepada teman lelaki suspek utama yang bekerja sebagai pemandu van kilang.

"Ketika bayi tersebut dibawa ke Kulim, suspek utama memberitahu ibu teman lelakinya bahawa bayi berkenaan adalah anaknya bersama bekas teman lelaki yang sebelum ini.

"Kita masih menyiasat sama ada bayi berkenaan akan dijual atau sebaliknya. Siasatan awal mendapati, tiada transaksi jual beli bayi yang dilakukan oleh kesemua suspek.

"Pengakuan awal suspek utama mengatakan dia mengambil bayi berkenaan adalah kerana suka kerana dia amat comel dan mempunyai badan yang gempal," katanya.