Jangan jadikan sensitiviti agama bahan mainan: Idris

Tular foto memaparkan seorang lelaki yang memakai songkok dan baju separa bogel sempena KLFW, minggu lalu.- Foto media sosial
Tular foto memaparkan seorang lelaki yang memakai songkok dan baju separa bogel sempena KLFW, minggu lalu.- Foto media sosial
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas individu memakai songkok, bersampin dan baju separa bogel semasa festival fesyen di ibu negara, baru-baru ini.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Idris berkata, langkah itu perlu diambil supaya perkara seumpamanya dapat dibendung dan dijadikan pengajaran oleh semua pihak.

"Masyarakat Islam kita cukup marah dan kecewa. Sempadan batas agama, sensitiviti keagamaan dan kaum usah dibuat bahan mainan," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, setiap individu perlu berfikir panjang sebelum melakukan sebarang perbuatan.

"Usahlah kita berperilaku yang melanggar dengan ajaran agama, adat ketimuran dan tatasusila," ujarnya.

Idris berkata demikian mengulas mengenai dua keping foto tular yang memaparkan seorang lelaki yang memakai songkok dan baju separa bogel sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), minggu lalu.

Songkok merupakan salah satu perhiasan di kepala yang melambangkan identiti kaum Melayu dan Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan: