Biadab jadikan tragedi MH370 bahan lawak - Anthony

Anthony Loke - Foto Bernama
Anthony Loke - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menganggap tindakan komediri Jocelyn Chia yang menggunakan tragedi kehilangan pesawat Malaysia, MH370 sebagai satu bahan jenaka adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.

"Apa yang dinyatakan pelawak itu adalah satu kenyataan yang biadab, kurang ajar dan tidak berperikemanusiaan kerana menggunakan tragedi itu sebagai bahan lawak. Tragedi itu membabitkan lebih 200 nyawa dan tiada manusia lain yang akan melakukan perkara sebegitu,” katanya.

Anthony berkata, susulan isu yang turut mendapat reaksi negatif oleh pelbagai pihak, beliau juga telah menghantar mesej kepada rakan sejawatannya dari Singapura, S Iswaran.

"Beliau juga menyatakan rasa terkejut dan saya lihat pihak Singapura telah mengambil langkah segera untuk memastikan perkara itu tidak dijadikan sebagai isu yang boleh dipolemikkan oleh mana-mana pihak yang boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara,” katanya kepada media di sini pada Khamis.

Anthony berkata demikian susulan kontroversi jenaka memperlekehkan Malaysia yang dibuat oleh Jocelyn termasuk mengenai tragedi Malaysia MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 dan membandingkan kemajuan antara Malaysia dan Singapura.

Anthony menganggap tindakan Jocelyn menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai satu bahan jenaka adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan. - Foto media sosial
Anthony menganggap tindakan Jocelyn menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai satu bahan jenaka adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan. - Foto media sosial

Malah katanya, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon juga dengan segera mengeluarkan kenyataan semalam menyatakan kekesalan dan permohonan maaf atas perkara tersebut serta mengkritik lawak yang dipersembahkan wanita itu.

Katanya, walaupun Jocelyn mengganggap itu sebagai jenaka, namun Anthony berkata, setiap jenaka perlu ada batasnya dan sepatutnya tidak menggunakan sesuatu tragedi untuk dijadikan bahan lawak.

"Perkara ini sepatutnya dijadikan sebagai pengajaran kepada semua pihak termasuk pelawak di negara kita dan kita mengalu-alukan komediri namun kita tidak boleh jadikan tragedi dan hubungan negara sebagai bahan jenaka,” katanya.

Terdahulu, Anthony menyaksikan penganugerahan Sijil Pematuhan untuk Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) ISO 37001:2016 kepada Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dan upacara menandatangani memorandum persefahaman antara LPK dengan agensi kerajaan yang bertanggungjawab bagi pelepasan kapal dan kargo di pelabuhan, operator terminal dan pemain industri untuk bekerjasama membanteras rasuah. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Lawak melampau: Singapura mohon maaf

Malaysia kecam jenaka keterlaluan pelawak Singapura

Netizen kecam pelawak Singapura jadikan MH370 bahan jenaka

Guna MH370 bahan jenaka adalah keji, jijik - Isteri pramugara

Jenaka MH370: 'Pelawak perlu tahu sensitiviti, empati'