Sasar kutipan RM290,000 naik taraf Masjid Ar-Rahmah

Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh perlukan dana segera untuk pembelian tanah bagi projek naik taraf.
Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh perlukan dana segera untuk pembelian tanah bagi projek naik taraf.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengurusan Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh di sini menyasarkan pembelian tanah seluas 0.3 hektar yang bernilai RM290,000 bagi menaik taraf masjid itu.

Imam Satu Masjid Ar-Rahmah, Abdul Karim Mashor berkata, tanah yang sedang giat diusahakan untuk dibeli pada kadar segera itu terletak bersebelahan tapak asal masjid berkenaan.

“Setakat ini, jumlah dana terkumpul ialah RM238,953.50 dan perlu dicukupkan sebanyak RM290,000 supaya pembelian tanah dapat disegerakan.

“Mengikut perancangan, tinggal dua bulan sahaja lagi tempoh persetujuan dengan pemilik tanah untuk kami membeli tanah tersebut dan barulah kita boleh mulakan kerja naik taraf masjid,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, usaha menaik taraf masjid tersebut dijangka memberi keselesaan kepada lebih 600 jemaah setempat.

“Sehubungan itu, masjid yang berusia hampir 40 tahun ini perlu dinaik taraf seiring dengan pertambahan jemaah supaya mempunyai ruangan solat yang selesa, tandas baharu dan tempat berwuduk yang lebih elok untuk para jemaah mahupun musafir untuk beribadat,” jelasnya.

Menurut Abdul Karim, pentadbiran masjid memperkenalkan sistem wakaf iaitu RM50 bagi satu lot tanah dan kini tinggal 1,200 lot sahaja lagi yang belum menerima pewakaf.

“Bagi yang ingin menyumbang boleh salurkan ke akaun Masjid Ar-Rahmah 03030000993715 Bank Muamalat atau hubungi talian 011-2638 6886 untuk pertanyaan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan: