PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat RM45 juta menerusi Skim PZB

Abdul Hakim (kanan) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (operasi) PPZ, Mohamed Hassan (kiri) menunjukkan slip gaji sebagai gimik pelancaran Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan 2023, pada Isnin. - Foto Bernama
Abdul Hakim (kanan) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (operasi) PPZ, Mohamed Hassan (kiri) menunjukkan slip gaji sebagai gimik pelancaran Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan 2023, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat pendapatan RM45 juta melalui kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) bermula 1 Julai hingga 31 Dis ini.

Ketua Pengawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen itu menyasarkan kepada kira-kira 9,500 pembayar zakat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Skim PZB merupakan antara saluran pembayaran yang menjadi pilihan masyarakat untuk membayar zakat, sepertimana saya sebut dalam ucapan sebentar tadi, 68 peratus daripada jumlah kutipan zakat itu datangnya daripada pemotongan gaji.

"Jadi masyarakat Islam memilih untuk membuat pembayaran secara pemotongan ini sebab mudah dan konsisten dari segi jumlah kutipan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen berkenaan di sini hari ini.

Abdul Hakim berkata, kempen itu juga menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti pakej percutian dua orang ke Balkan, serta masing-masing enam unit Iphone 15, Slim Fluffy Dyson Vacuum, Sony WH-1000Xm5 Headband, syiling Emas 999.9 dan Perfect

"Pembayar zakat PPZ-MAIWP juga dilindungi Skim Kafarah Muzakki atau skim khairat kematian. Sekiranya berlaku kematian ke atas pembayar, waris akan menerima sumbangan wang sehingga RM3,000. Pembayar membuat potongan gaji zakat serendah RM50 setahun secara automatik layak menerima skim ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi jumlah golongan asnaf sebelum pandemik Covid-19 adalah kira-kira 20,000 keluarga dan apabila wabak itu melanda, jumlah berkenaan meningkat melibatkan kira-kira 30,000 keluarga yang perlu dibantu secara bulanan, melibatkan dana RM20 juta sebulan.

"Daripada zaman Covid-19 itu jumlah sentiasa bertambah, oleh itu kita memerlukan kutipan zakat lebih tinggi supaya dapat menyantuni keperluan dan memberi keselesaan hidup sepertimana masyarakat Islam yang lain.

"Kempen ini terbuka kepada semua pembayar zakat melalui saluran Skim PZB sama ada pembayar baharu atau pun yang menambah jumlah potongan zakat,” katanya.

Beliau berkata, cara penyertaan adalah dengan mendaftar Skim PZB secara dalam talian melalui laman sesawang ptg.zakat.com.my atau secara manual dengan mengisi borang di kaunter PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur dan Putrajaya atau melalui majikan. - Bernama