Ubah suai bangunan untuk aktiviti penyeludupan

Amran (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas semasa Op Bersepadu yang diadakan selama 24 jam bermula Selasa hingga Rabu.
Amran (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas semasa Op Bersepadu yang diadakan selama 24 jam bermula Selasa hingga Rabu.
A
A
A

TUMPAT - Sebanyak 48 notis dan satu kompaun dikeluarkan terhadap pemilik bangunan dan premis kediaman di sepanjang Sungai Golok dari Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Jambu di sini yang mengubahnya dipercayai untuk tujuan penyeludupan.

Notis dan kompaun terbabit dikeluarkan oleh Majlis Daerah Tumpat (MDT) semasa Op Bersepadu yang diadakan selama 24 jam bermula jam 12 tengah hari pada Selasa dan berakhir pada waktu yang sama, Rabu kerana membuat binaan tanpa kebenaran dan piawaian yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, kesemua pemilik bangunan itu dikenakan notis di bawah Seksyen 70 (1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan kami mendapati pemilik premis membuat binaan pagar menggunakan zink setinggi tiga meter," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini pada Rabu.

Beliau berkata, Op Bersepadu dengan pelbagai agensi di kawasan sempadan termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus digerakkan dari masa ke masa.

Amran berkata, kerjasama ini merupakan salah satu usaha untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

"Polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel Berkaitan: