'Ramai mengidam makan buah jambu golok'

Norliza menunjukkan sebahagian buah jambu golok yang masak ranum di tepi rumahnya di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
Norliza menunjukkan sebahagian buah jambu golok yang masak ranum di tepi rumahnya di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah memanfaatkan sepenuhnya tanaman buah jambu golok atau digelar gajus yang ditanam di tepi rumahnya di Kuala Ibai, di sini dengan mengagihkannya secara percuma kepada orang ramai.

Norliza Ibrahim, 57, berkata, pokok itu mengeluarkan buah yang lebat tahun ini sehingga ramai yang dapat menikmatinya selepas memuat naik hantaran mengenainya di laman sosial Facebook pada Selasa.

Katanya, lebih 50 kilogram buah jambu golok diagihkan kepada lebih 60 orang pada Selasa.

"Ramai yang datang dari jauh seperti Batu Rakit, Kuala Nerus, Mak Kemas dan beberapa tempat lagi termasuk dari Marang.

"Paling ramai yang datang ialah wanita mengandung, anak perantau yang balik ke Terengganu dan orang tua yang mengidam untuk menikmati hidangan tersebut.

"Kebanyakan yang ambil buah ini beritahu saya harganya kini semakin mahal dan agak sukar untuk diperoleh di pasaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini pada Selasa.

Menurut Norliza, terdapat juga mereka yang tinggal luar dari Terengganu meminta supaya buah itu diposkan namun dia enggan mengambil risiko sekiranya buah itu rosak.

"Saya tidak berani ambil risiko untuk pos jauh sebab buah ini sudah masak ranum dan berair. Bimbang juga buah ini akan rosak," katanya yang mula mengagihkan buah itu sejak tahun lalu.

Difahamkan, ketika ini harga bagi satu kilogram jambu golok di Terengganu antara RM10 hingga RM12.

Agihan buah jambu golok yang dikongsi Norliza di laman Facebooknya mendapat perhatian ramai sehingga menerima 1,200 tanda suka.

Katanya, di Terengganu, buah itu adalah antara bahan wajib yang digunakan untuk masakan tradisional yang popular dalam kalangan penduduk di negeri ini iaitu sayur lemak jambu golok.

"Syarat utama masakan sayur lemak ini perlu letak sotong barulah rasanya sedap. Buah jambu golok ini pula perlu dibuang airnya dan rasa sedikit kelat yang ada pada buah berkenaan.

"Ikut pada kebiasaan, di Kelantan orang panggil buah ketereh, di Indonesia pula ia digelar jambu monyet. Gelaran jambu golok popular di Terengganu dan gelaran gajus pula digunakan oleh mereka di luar Terengganu dan Kelantan," ujarnya.

Menurut Norliza, pokok berusia lima tahun itu sebenarnya tidak dijaga dengan rapi namun mengeluarkan hasil yang banyak tahun ini.

"Saya harap pokok ini akan terus berbuah dengan lebat dan dapat diagihkan lagi secara percuma kepada orang ramai," katanya.