Norizan dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah baharu

Norizan
Norizan
A
A
A

ALOR SETAR - Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali, 56, dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang baharu.

Beliau menggantikan Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim yang bersara wajib pada Selasa.

Majlis pengurniaan tauliah pelantikan disempurnakan oleh Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit pada Rabu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Syed Shaharuddin Syed Abdullah memaklumkan, pentadbiran kerajaan negeri mengucapkan tahniah atas pelantikan Norizan, selain menghargai jasa dan khidmat yang dicurahkan Ammar sepanjang berkhidmat.

Norizan sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan.

“Beliau bukan sahaja berpengalaman dalam pentadbiran daerah, tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi juga dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Antaranya, pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri pada tahun 2013 hingga 2015 dan memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) pada 2019 sehingga 2022,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, Norizan turut bertanggung jawab merangka Pelan Transfomasi Pembangunan Negeri Kedah (2013), Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan merangka pembangunan Kedah Rubber City, Bukit Kayu Hitam Special Boarder Economic Zone (SBEZ), Kedah Aerotropolis, Kedah Science Technology Park (KSTP) dan Northern Corridor Highway (NCH) bersama Northern Corridor Implementation Authorithy (NCIA).

Artikel Berkaitan:

“Kecemerlangan beliau dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam diiktiraf apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1996, 2008 dan 2020,” ujarnya.