ABIM gesa reformasi AGC, SPRM

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

PUTRAJAYA - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan melakukan reformasi terhadap badan penguatkuasa undang-undang khususnya Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan itu bagi memastikan kedua-dua institusi itu benar-benar bebas dari campur tangan kuasa eksekutif.

"Dekad ini kita menyaksikan seolah-olah pertuduhan jenayah dijadikan senjata sama ada untuk menjatuhkan musuh atau menyelamatkan rakan politik," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggambarkan keabsahan tuntutan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu iaitu ingin melihat badan pentadbiran negara berfungsi secara telus dan adil.

"Kegagalan siasatan secara adil dan telus dilakukan sejak awal termasuk memulakan dakwaan ke atas pesalah di mahkamah telah mendesak rakyat menyuarakan bantahan dengan membuat perubahan menerusi peti undi," ujar Muhammad Faisal.

Menurutnya, bersempena tarikh ulang tahun kemerdekaan dan Hari Malaysia bakal menghampiri, ABIM bersama rakyat mengharapkan sinaran harapan yang lebih baik untuk negara khususnya dalam memastikan Malaysia bebas rasuah.

"Barah ini perlu dibasmi sepenuhnya. Ini adalah salah satu nilai ikatan Bangsa Malaysia yang kita bawa iaitu bangsa bermaruah yang bebas dari rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa," katanya.

Artikel Berkaitan: