Mohd Nor lancar manifesto serlahkan kebenaran

Mohd Nor ditemui ketika di sekitar Pekan Kuala Sawah ketika kempen PRK Rantau, pagi tadi. - Foto Sinar Harian Adam Amir Hamzah.
A
A

SEREMBAN - Calon bebas, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd Nor Yassin hari ini melancarkan manifestonya dengan lima perkara menjadi perjuangan utama untuk penduduk di Rantau.

Kandungan manifestonya adalah membangun bersama Islam, kebajikan rakyat diutamakan, suara rakyat suara saya, membangunkan insan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta perpaduan kaum diutamakan.

Calon berusia 67 tahun itu memberitahu misi beliau bertanding adalah untuk meneruskan agenda perjuangan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam mengangkat kepimpinan Islam.

"Kalah pun tak jadi masalah, tetapi kebenaran perlu diserlahkan di Rantau,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifestonya di Kampung Sega Hilir, Rantau hari ini.

PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, calon Pakatan Harapan, Dr S Streram dan dua calon bebas iaitu bekas pensyarah Mohd Nor dan suri rumah R. Malarvizhi.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia