Malaysia pelawa China, Negara ASEAN sertai MyPAiR

Noraini
Noraini
A
A
A

BEIJING - Malaysia mempelawa China dan negara-negara ASEAN untuk menyertai program Malaysia Partnerships and Alliances in Research (MyPAiR) dalam semangat pembelajaran berasaskan saintifik.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program berkenaan bertujuan untuk sama-sama membangunkan minat penyelidikan antara negara pembiaya yang bekerjasama.

"Bersama-sama, kita boleh mengukuhkan kecemerlangan penyelidikan negara masing-masing melalui perkongsian strategik dan pakatan,” katanya dalam prarakaman ucapannya pada Persidangan Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN-China bertemakan Building an Amicable Home Together: ASEAN-CHINA Education Cooperation and Development Towards 2030, pada Selasa.

Persidangan secara hibrid itu berlangsung di Guizhou, barat daya China sempena Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN ke-15, dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan China, Pusat China-ASEAN dan Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

Persidangan yang bertujuan memperkukuh kerjasama pendidikan antara ASEAN dan China itu dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan China Huai Jinpeng.

Noraini berkata, China berjaya menunjukkan hasil kejayaan memberangsangkan menerusi penggunaan data besar semasa pandemik Covid-19, penyelidikan vaksin, pelancaran meluas 5G di seluruh negara itu dan pelancaran program angkasa lepas di Stesen Angkasa Tian Gong.

"Saya ingin mengikhtiraf dan memuji China atas kemajuan dalam penyelidikan dan pembangunan sepanjang tahun,” katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan Malaysia terhadap kerjasama dalam bidang pengajian tinggi yang saling menguntungkan negara bekerjasama, selain ingin menjemput ahli akademik, penyelidik atau pelajar dari China serta negara ASEAN lain ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Noraini berkata, Malaysia sentiasa bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi aktiviti kobalorasi penyelidikan dan inovasi, program mobiliti pelajar dan kakitangan atau pendidikan tinggi.

"Malaysia berharap adanya pertukaran idea, pengukuhan hubungan sedia ada dan pembentukan jalinan baharu daripada program ini,” katanya. - Bernama