29 hotel di Sarawak langgar peraturan buruh

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak mengesan 29 hotel melanggar peraturan buruh selepas memeriksa 80 hotel dalam operasi khas, ‘Ops Hotel’, yang dilancarkan serentak di seluruh negeri itu, semalam.

JTK Sarawak, dalam kenyataan hari ini, berkata, sejumlah 55 kes dikesan dalam operasi yang melibatkan 43 anggota penguat kuasa daripada 15 cawangan pejabatnya.

Daripada jumlah kes itu, 12 kes membabitkan kegagalan majikan menyimpan daftar terma dan syarat penggajian, kegagalan menyimpan daftar peribadi pekerja (10 kes) dan 7 kes membabitkan majikan gagal membayar gaji minimum.

Selain itu, enam kes membabitkan kegagalan majikan membayar gaji lebih masa kepada pekerja serta lima kes masing-masing membabitkan kegagalan majikan memberi daftar gaji kepada pekerja, membayar gaji hari kelepasan, membayar gaji kerja pada hari kelepasan dan kegagalan majikan memberi cuti tahunan.

Jabatan itu berkata operasi khas itu akan diteruskan di sektor pekerjaan lain bagi memastikan pematuhan undang-undang perburuhan oleh majikan serta melindungi hak pekerja. -Bernama

Artikel Berkaitan: