'Kami mahu masa depan penduduk lebih baik'

Kumpulan yang menyokong cadangan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi
Kumpulan yang menyokong cadangan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi
A
A
A

KEPALA BATAS - Kumpulan yang menyokong cadangan pembinaan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Bertam di sini menyangkal dakwaan mereka tidak mewakili penduduk setempat.

Sebaliknya mereka menegaskan sokongan terhadap projek berkenaan demi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda bukan sahaja di kawasan Bertam, malah untuk penduduk di sekitar Seberang Perai secara amnya.

Jurucakap kumpulan terbabit, Mazlan Abdul berkata, atas rasa tanggungjawab dan masa depan golongan anak muda terutamanya dalam kalangan kumpulan B40, mereka mahukan projek pembangunan itu disegerakan sekali gus akan memberi manfaat kepada banyak pihak.

Menurutnya, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan melahirkan ramai tenaga mahir, pembangunan itu akan merancakkan lagi ekonomi penduduk, golongan peniaga serta penjaja makanan.

Mazlan (tengah) pada sidang akhbar bagi menyatakan sokongan terhadap projek Taman Perindustrian Teknologi Tinggi di Bertam.
Mazlan (tengah) pada sidang akhbar bagi menyatakan sokongan terhadap projek Taman Perindustrian Teknologi Tinggi di Bertam.

"Tiada sebab kami sebagai penduduk negeri ini mahu membantah cadangan untuk mewujudkan taman perindustrian berteraskan teknologi tinggi ini sekiranya ia akan memberi manfaat kepada anak muda dan penduduk tempatan di sini.

"Mungkin projek ini tidak membawa apa-apa makna kepada golongan 'kayangan' dan T20 kerana hidup mereka sudah terjamin, tetapi bagaimana dengan nasib anak muda yang memerlukan pekerjaan.

"Peluang pekerjaan yang dihasilkan melalui projek ini sudah pasti bukan sahaja melibatkan penduduk Bertam dan Kepala Batas, malah mereka yang tinggal berhampiran sehingga di Sungai Petani akan menerima manfaatnya," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mazlan berkata, dakwaan kononnya projek terbabit akan mencemarkan alam sekitar tidak berasas kerana pembangunan dijalankan akan diurus mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan, tidak mempunyai sebarang muslihat atau mahu mencabar pihak tertentu dalam menyatakan sokongan terhadap projek berkenaan.

"Saya tiada kepentingan dalam projek ini sebaliknya saya memperjuangkan hak serta kepentingan anak muda dan penduduk tempatan yang ingin mengubah nasib mereka dengan mendapat pekerjaan yang lebih baik, kehidupan dan ekonomi yang stabil serta keluar dari kepompong kemiskinan," katanya.