RISDA lancar pelan tingkat taraf hidup pekebun kecil

Mohd Salim (kanan) ketika meninjau kawasan penanaman nanas.
Mohd Salim (kanan) ketika meninjau kawasan penanaman nanas.
A
A
A

REMBAU - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melancarkan pelan Program Pembangunan Hasil Baharu Agromakanan RISDA yang lebih berkesan bagi memperbaiki taraf sosioekonomi pekebun kecil melalui tiga bidang utama.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, bidang utama berkenaan adalah tanaman jangka pendek, tanaman jangka panjang dan ternakan.

"Usaha ini dilihat dapat mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada pendapatan dari sumber getah dengan memfokuskan bidang agromakanan agar menjadi lebih efektif dalam meningkatkan taraf kehidupan pekebun kecil.

"Secara tidak langsung dapat menyokong dan memenuhi Dasar Agromakanan Negara dan Dasar Sekuriti Makanan Negara," katanya selepas selesai perasmian penuaian nanas MD2 Koperasi Pekebun Kecil (KPK) Berhad Negeri Sembilan di Kampung Anak Air, Kundur pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi KPK NS Bhd, Datuk Aliasak Ambia; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; dan Pengarah RISDA, Muhammad Rizal Ahmad.

Jelas Mohd Salim, pada tahun lalu RISDA telah memperuntukkan sebanyak RM655,000 bagi menggerakkan Program Pembangunan Hasil Baharu Agromakanan RISDA Negeri Sembilan dan tahun ini peruntukkan berkenaan meningkat kepada RM1.8 juta.

Dalam pada itu, Mohd Salim berkata, KPK Berhad Negeri Sembilan di bawah seliaan RISDA telah mengambil langkah proaktif dalam Projek Agromakanan Tanaman Nanas MD2 di bawah kategori tanaman jangka pendek bermula tahun 2021.

"Dengan keluasan 3.64 hektar tanah yang diusahakan dan kelulusan bantuan bernilai RM300,000, KPK mampu menanam 140,000 pokok nanas.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh 18 bulan, dijangkakan nilai jualan yang bakal diperoleh koperasi bagi tanaman berkenaan baik dari buah mahupun sulur (anak pokok) boleh mencecah lebih setengah juta.

“Jadi ini adalah salah satu yang kita (RISDA) buat untuk pengeluaran makanan ataupun agromakanan kerana kalau bersandarkan dengan getah sahaja sudah pasti tidak cukup mereka menyara hidup," katanya.