Kedah catat pelaburan tertinggi RM20 bilion

Mohd Yusri (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Muhammad Sanusi ketika melancarkan projek loji melamina di Kompleks Petronas Chemical Fertiliser Kedah Sdn Bhd di Gurun pada Selasa.
Mohd Yusri (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Muhammad Sanusi ketika melancarkan projek loji melamina di Kompleks Petronas Chemical Fertiliser Kedah Sdn Bhd di Gurun pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kedah mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan mencecah RM20 bilion pada suku kedua tahun 2022, merupakan antara tertinggi di Malaysia.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, angka itu mengatasi sasaran pelaburan Kedah iaitu sebanyak RM10 bilion setahun.

Menurutnya, Kedah mempunyai aliran pelaburan asing dan domestik kukuh yang mana kehadiran pelabur telah membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri selain mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Setakat suku kedua tahun 2022, Kedah hampir pasti menerima RM20 bilion pelaburan tahun ini, yang mana pada waktu ini adalah pelaburan tertinggi di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan projek loji melamina di Kompleks Petronas Chemical Fertiliser Kedah Sdn Bhd di Gurun pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Berhad, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah turut menduduki tempat kedua dari segi nilai pelaburan yang dicapai tahun lepas dengan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM68.3 bilion iaitu nilai yang luar biasa dan menjadi sejarah besar bagi negeri ini.

"Ketika dunia sedang bergelut dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, Malaysia terus menarik minat pelaburan pada tahun lepas dan Kedah merupakan antara destinasi pelaburan terpilih.

Artikel Berkaitan:

"Nilai pelaburan langsung asing dan domestik yang diluluskan untuk operasi di negeri ini berjumlah RM68.3 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi," katanya.

Berhubung pelaksanaan projek loji melamina di Kedah, Muhammad Sanusi menjelaskan, ia amat strategik, bermanfaat dan mampan serta bukti kepercayaan dan pengiktirafan pelbagai pihak terhadap keupayaan Kedah dan penduduk tempatan dalam menyumbang kepada kejayaan pelaburan perniagaan serta pertumbuhan ekonomi Kedah dan Malaysia secara keseluruhannya.

"Projek ini bakal mengukuhkan lagi kawasan perindustrian Gurun sebagai sebuah zon pengeluar bahan kimia khusus bertaraf antarabangsa di rantau Asia Tenggara," katanya.