Semangat berpasukan Penyu rebahkan Tok Gajah di Kuantan

Semangat berpasukan tinggi dalam kalangan pemain TFC menjadi pencetus kepada kemenangan di Kuantan. - Foto Terengganu FC
Semangat berpasukan tinggi dalam kalangan pemain TFC menjadi pencetus kepada kemenangan di Kuantan. - Foto Terengganu FC
A
A
A

SEMANGAT berpasukan sepanjang 90 minit perlawanan disifatkan elemen penting membantu Terengganu FC (TFC) mengatasi Sri Pahang FC, 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, pada Ahad.

Malah pengendali TFC, Nafuzi Zain mengakui bangga apabila para pemain Sang Penyu berjaya bangkit daripada ketinggalan satu gol pada perlawanan itu.

"Sebenarnya kami hadir ke Kuantan tanpa menyenaraikan beberapa pemain utama yang masih mengalami kecederaan pada perlawanan malam ini.

"Biarpun begitu, saya ingin tegaskan yang TFC tidak bergantung kepada individu sebaliknya lebih kepada bermain sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan ke atas Sri Pahang.

"Terima kasih kepada semua pemain TFC yang bermain begitu sempurna bermula seawal minit pertama hingga minit akhir perlawanan," katanya selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo terlebih dulu meletakkan Tok Gajah mendahului 1-0 pada minit ke-46, sebelum Sang Penyu bangkit dengan dua gol, masing-masing daripada Habib Haroon (72') dan Petrus Shitembi (87').

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh menerima hakikat anak buah Nafuzi lebih bagus dalam perlawanan tersebut.

Malah jelas bekas pemain Harimau Malaya itu, kekalahan tipis tersebut juga disebabkan para pemain tuan rumah terlalu memberikan ruang kepada lawan untuk menguasai permainan.

Artikel Berkaitan:

"Ya, kita terima hakikat Sri Pahang kalah kepada pasukan yang memiliki tahap permainan tinggi selepas lima perlawanan tanpa kalah.

"Sejujurnya selepas menjaringkan gol pendahuluan, kita tidak boleh bermain secara bertahan apabila berdepan pasukan seperti TFC.

"Malah gol penyamaan TFC juga sebenarnya turut memberikan kesan kerana kebiasaannya apabila berjaya menyamakan kedudukan, para pemain akan lebih bersemangat dan itulah yang berlaku dalam perlawanan ini," katanya.