Polis Sandakan sahkan lepas tembakan seperti dalam video tular

Sebuah kenderaan bertindak memecut laju cuba melarikan diri daripada ditahan polis dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di Jalan Sungai Manila, Batu 12, Sandakan, pada Isnin.
Sebuah kenderaan bertindak memecut laju cuba melarikan diri daripada ditahan polis dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di Jalan Sungai Manila, Batu 12, Sandakan, pada Isnin.
A
A
A
SANDAKAN - Polis Sandakan mengesahkan bahawa rakaman video melepaskan tembakan yang tular di daerah itu adalah berkaitan satu operasi polis di sebuah kawasan perumahan di Jalan Sungai Manila, Batu 12, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kejadian itu membabitkan lima anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan yang cuba menahan kenderaan suspek dipercayai pengedar dadah.

"Kejadian berlaku di kawasan tempat letak kereta dan suspek bertindak agresif serta hampir merempuh seorang anggota serbuan sehingga memaksanya melepaskan satu das tembakan ke arah tayar (kereta suspek) untuk menghentikan kenderaan terbabit daripada merempuhnya.

"Anggota lain pula cuba menghentikan kenderaan itu dengan cuba memecahkan cermin hadapan menggunakan alat 'walkie talkie' sehingga menyebabkan terdapat kesan hentakan namun kenderaan itu berjaya meloloskan diri," katanya dalam kenyataan, pada malam Isnin.

Katanya lagi, pihak polis kemudian berjaya mengesan kenderaan itu di tepi jalan iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Usaha mengesan suspek giat dilakukan dan siasatan sedang dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat Asistan Superintenden (ASP) Jas Dewd di talian 013-3598455," katanya.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 30 saat memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kenari bertindak memecut laju dipercayai cuba mengelak daripada ditahan polis di sebuah taman perumahan di sini.

Difahamkan, bunyi tembakan turut didengari penduduk kawasan perumahan terbabit ketika kejadian itu berlaku.

Artikel Berkaitan: