Rakan, individu terakhir jumpa Zalina Azman

Zalina Azman dilaporkan hilang oleh anaknya pada 29 November tahun lalu.
Zalina Azman dilaporkan hilang oleh anaknya pada 29 November tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang rakan kepada Zalina Shaharah Azman, yang dikenali sebagai Zalina Azman, dipercayai individu terakhir bertemu dengan bekas pembaca berita itu sebelum beliau dilaporkan hilang sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia susulan keterangan diambil daripada individu berusia 30-an itu pada 16 Ogos lepas.

"Berdasarkan keterangan yang diambil, individu tersebut bertemu dengan Zalina pada Julai 2021 dan ketika pertemuan tersebut, Zalina dalam keadaan sihat serta seperti biasa sahaja.

"Orang terakhir itu adalah rakan kepada Zalina sahaja dan bukan ahli keluarga atau pekerja binaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati individu itu tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina selain tiada perkembangan terbaru melibatkan kes itu sehingga kini.

Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina, 58, daripada anak lelakinya Mikhael Norman, 33, pada 29 November tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 November bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Polis percaya Zalina masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkannya yang dikesan pihak berkuasa setakat ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: