Rumah Zalina Azman sepi, terbiar

Rumah bekas pembaca berita TV3, Zalina Azman yang dipercayai hilang sejak November tahun lalu dalam keadaan sepi dan terbiar di Seksyen 3 di sini.
Rumah bekas pembaca berita TV3, Zalina Azman yang dipercayai hilang sejak November tahun lalu dalam keadaan sepi dan terbiar di Seksyen 3 di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sunyi dan sepi selain semak samun di sekeliling kawasan rumah bekas pembaca berita TV3, Zalina Azman yang dipercayai hilang sejak November tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan perumahan yang didiami Zalina di Seksyen 3 itu juga kelihatan tidak terurus.

Individu yang juga jiran berhampiran Zalina yang enggan dikenali berkata dirinya tidak tahu rumah berkenaan didiami bekas pembaca berita TV3 itu.

"Saya tak pernah nampak dia, dan saya tak tahu rumah itu miliknya.

"Lain-lain kalau nak tanya memang saya tak dapat nak beri komen," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini belum ada perkembangan baru berkaitan kehilangan bekas penyampai berita TV3 itu.

"Sehingga kini tiada apa-apa perkembangan terbaru sejak hebahan dibuat, siasatan masih diteruskan dan diklasifikasikan orang hilang," katanya.

Pada Isnin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengeluarkan hebahan mengenai kehilangan Zalina pada 24 November tahun lalu.

Mohd. Iqbal berkata, laporan berkaitan kehilangan dibuat anak mangsa yang mendakwa gagal menghubungi ibunya sejak 24 November 2021.