Parlimen tergantung bukan alasan halang PRU

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan alasan takut Parlimen tergantung tidak lagi boleh digunakan untuk menghalang Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Ini kerana katanya, alasan itu adalah mitos politik yang menceritakan perkara kurang benar, malah boleh dibuktikan sebaliknya.

“Baru-baru ini, Profesor Sains Politik dan Demokrasi tersohor, Dr Wong Chin Huat memberikan pencerahan mengenai isu Parlimen tergantung. Menarikny,a beliau menyampaikannya dalam Simposium Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

“Profesor Sains Politik dan Demokrasi tersebut menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku ‘hung Parlimen’ atau Parlimen tergantung.

“Keadaan ini bukanlah situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu malah, tidaklah menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata, masyarakat perlu ada pemahaman politik komparatif yang lebih dalam sistem politik dengan mengambil contoh kerajaan New Zealand pada tahun 1996-2020 ialah terbentuk daripada Parlimen tergantung akan tetapi tetap maju dan stabil.

“Autoriti pencerahan oleh Profesor Sains Politik tersebut mampu memberikan pencerahan dan membuka mata hati pemahaman mitos politik semasa,” katanya.

Pada Ahad, Chin Huat dilaporkan berkata, kerisauan ramai pihak bahawa berlakunya Parlimen tergantung sekiranya tiada parti yang berjaya meraih majoriti dalam PRU akan datang tidak seteruk yang digambarkan ramai pihak.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, pembentukan sesebuah kerajaan campuran katanya bukanlah sesuatu yang asing berlaku di dunia atau menyebabkan kerosakan terhadap sesebuah negara.

Sebaliknya jika dilihat dengan lebih luas konteks tersebut, jelasnya lagi, ada negara yang berjaya disebabkan kekuatan yang diperoleh daripada campuran kerajaan yang dibentuk.