Zainab bukan pemegang saham Alizes Marine Limited: Dialog Group

Dialog Group Berhad menafikan Ketua Pegawai Kewangan syarikat itu, Zainab Mohd Salleh adalah salah seorang pemegang saham syarikat pesisir luar pantai, Alizes Marine Limited yang terkait dengan skandal projek LCS. - Foto ihsan The Edge Markets
Dialog Group Berhad menafikan Ketua Pegawai Kewangan syarikat itu, Zainab Mohd Salleh adalah salah seorang pemegang saham syarikat pesisir luar pantai, Alizes Marine Limited yang terkait dengan skandal projek LCS. - Foto ihsan The Edge Markets
A
A
A

SHAH ALAM - Dialog Group Berhad menafikan dakwaan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO) dan Setiausaha Syarikat Bersamanya, Zainab Mohd Salleh merupakan individu yang sama memegang saham Alizes Marine Limited dan isteri kepada seorang menteri kabinet seperti dilaporkan pada Isnin.

Sebaliknya, Dialog Group Berhad dalam satu kenyataan pada Isnin menjelaskan, Zainab merupakan pasangan kepada Dr Noor Azmi Mat Adenan iaitu seorang doktor pakar yang berkhidmat di salah salah sebuah pusat perubatan swasta terkenal di ibu negara.

“Kami ingin memaklumkan orang ramai bahawa Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Setiausaha Syarikat Bersama kami, Zainab Mohd Salleh telah dikenal pasti secara palsu sebagai pemegang saham Alizes Marine Limited.

“Beliau merupakan pasangan kepada Dr Noor Azmi Bin Mat Adenan, Pakar Perunding Ginekologi Onkologi di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC).

“Sebarang tuduhan palsu atau kenyataan mengelirukan yang dikeluarkan atau ditujukan kepada Dialog Group Berhad, anak syarikatnya termasuk pengarah atau pekerjanya tidak akan dipandang ringan, dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan berkenaan dengan tuduhan atau kenyataan mengelirukan tersebut,” katanya.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dalam pendedahan terbaharunya mendakwa, dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) dimiliki oleh isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.

Beliau berkata, kewujudan kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (offshore) menggunakan nama Alizes Marine tetapi didaftarkan di dua negara berbeza itu terbongkar melalui siasatan dalaman LCS dan semakan lanjut yang dilakukannya.

Menurut Rafizi, laporan turut menunjukkan pemilikan syarikat oleh wanita itu juga berlaku ketika suaminya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Menteri Pertahanan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menafikan bahawa individu bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa terlibat dalam skandal projek LCS merupakan isterinya.

Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkata, beliau bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak berkuasa mahu menjalankan siasatan selanjutnya berhubung perkara tersebut.